PDRM cadang ketua jenayah scam, maksiat diisytihar persona non grata

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Prosedur Tetap Operasi (PTO) Op Benteng di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Prosedur Tetap Operasi (PTO) Op Benteng di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini.

A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia agar ketua-ketua sindiket jenayah scam dan maksiat warga asing di negara ini diisytihar sebagai persona non grata.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya akan mengenal pasti mana-mana penjenayah warga asing untuk dirujuk kepada Jabatan Imigresen bagi dikenakan tindakan sedemikian.

"Kami akan cadang kepada Jabatan Imigresen untuk penjenayah-penjenayah warga asing ini dikenakan pengisytiharan (persona non grata) berkenaan setelah mereka dikenal pasti terlibat dalam kegiatan haram ini.

Dengan harapan mereka tidak boleh masuk (Malaysia) lagi. Seumur hidup (mereka) tidak boleh masuk ke dalam negara ini," katanya dalam sidang media sempena Majlis Menandatangani Prosedur Tetap Operasi (PTO) Op Benteng di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Mohamad Fauzi Md Isa berkata apabila seseorang warga asing sudah diisytihar persona non grata maka dia dilarang memasuki Malaysia seumur hidupnya.

"Bila dia tidak dibenarkan masuk, dia tidak dapat kemudahan imigresen yang diberikan kepada setiap warga asing itu misalnya mohon visa atau memohon permit kerja, ia tidak dibenarkan. Hendak masuk pun tak boleh," katanya.

Mengulas sama ada pendatang yang memasuki negara ini secara haram boleh dikenakan tindakan sama, beliau berkata warga asing yang memasuki negara ini secara tidak sah adalah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 dan akan disenarai hitamkan.

"Jadi, kesalahan menceroboh itu boleh dikenakan persona non grata dan pengisytiharan itu telah lama dilaksanakan sejak penguatkuasaan akta (melibatkan pengisytiharan itu)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata, warga asing yang didapati terlibat dan disabitkan dengan kesalahan membabitkan kegiatan jenayah akan diisytiharkan sebagai persona non grata.

Keputusan itu terpakai untuk semua warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen tanpa mengira jenis pas yang dimiliki.

Persona non grata adalah orang yang tidak dapat diterima oleh sesebuah negara selama-lamanya setelah didapati bersalah melakukan kesalahan (jenayah) yang tidak dapat dimaafkan (berat) semasa dia berada di sesebuah negara. - Bernama