Dua pegawai imigresen didakwa terima rasuah

Seorang daripada pegawai imigresen didakwa (depan) atas pertuduhan pemalsuan perakuan cap jabatan imigresen di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini.
Seorang daripada pegawai imigresen didakwa (depan) atas pertuduhan pemalsuan perakuan cap jabatan imigresen di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pegawai Imigresen dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menerima suapan RM1,250 berkaitan pemalsuan perakuan cap Jabatan Imigresen Malaysia.

Azhar Md Salbi, 27, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Kamarudin Samsun.

Sekiranya gagal membayar denda RM20,000, tertuduh boleh dikenakan penjara enam bulan.

Berdasarkan pertuduhan, Azhar didakwa menerima wang suapan daripada dua individu iaitu masing-masing sebanyak RM500 dan RM750 di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.

Suapan tersebut bagi mendapatkan perakuan cap keluar dan masuk pasport warga asing tanpa perlu keluar dari negara ini.

Azhar yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 2 (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).

Dalam mahkamah sama, seorang lagi pegawai Imigresen, Syafik Abu Khalipah, 25, mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan menerima suapan berjumlah RM24,395 atas kesalahan sama pada tahun lalu.

Beliau membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan hakim yang sama.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan, Syafik didakwa menerima suapan bagi mendapatkan perakuan cap keluar dan masuk pasport warga asing tanpa mereka perlu keluar dari negara antara 22 Oktober 2019 hingga 17 Mac lalu.

Tertuduh didakwa menerima wang suapan daripada dua individu.

Kamarudin kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM40,000 dengan seorang penjamin manakala pasport milik tertuduh perlu diserah kepada mahkamah dan melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 21 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Syafik diwakili peguam K Kalaicelran dan G Kamala manakala Azhar tidak diwakili peguam.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Suhali Sapun.