Penang Sentral gempar diserbu Imigresen

No Image Caption
A
A
A

BUTTERWORTH - Suasana di Penang Sentral, di sini yang sibuk dengan penumpang dan pengunjung sempena cuti Tahun Baharu Cina hari ini menjadi gempar apabila Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang menjalankan operasi menahan pendatang asing tanpa izin (Pati).

Keadaan menjadi sedikit kecoh apabila ada yang cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguatkuasa Imigresen Pulau Pinang dan ada juga yang terpinga-pinga.

Ketua Bahagian Operasi Imigresen Pulau Pinang Izham Idris berkata, operasi yang bermula pada jam 9 pagi dan tamat lima jam kemudian itu tertumpu di kawasan parkir bas dan sekitar bangunan Penang Sentral.

"Dalam operasi itu, seramai 976 warga asing diperiksa dan hasilnya seramai 70 Pati berjaya ditangkap atas pelbagai kesalahan antaranya gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah dan tinggal lebih masa serta menyalahguna pas lawatan sosial," katanya, di sini hari ini.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 24 lelaki dan tiga wanita Myanmar, 24 lelaki Bangladesh,10 warga Indonesia termasuk lima wanita, seorang lelaki dan tiga wanita Vietnam, empat lelaki Nepal serta seorang lelaki India.

Izham berkata, semua warga asing itu dibawa ke Pejabat Imigresen Seberang Jaya untuk proses dokumentasi sebelum ditahan di Depot Imigresen Juru untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, operasi bersepadu itu akan terus dijalankan dari semasa ke semasa dengan menyasarkan tempat-tempat tumpuan warga asing di sekitar Pulau Pinang dalam usaha membendung kehadiran Pati.

"Kami juga meminta kerjasama orang ramai agar menyalurkan maklumat warga asing yang terdapat di kawasan mereka supaya pihak Imigresen dapat membuat pemeriksaan bagi mengesan Pati," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: