Bajet Perak 2021 tumpu usaha pulih ekonomi

Saarani (tengah) pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.
Saarani (tengah) pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Pembentangan Bajet Perak 2021 pada Rabu ini akan memberi tumpuan kepada usaha memulihkan ekonomi negeri dan rakyat.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kesan penularan Covid-19 menjadi salah satu inti pati bajet negeri kali ini selain beberapa perkara lain.

Beliau berkata, Mesyuarat Exco Perak yang pertama pada hari ini mendapatkan kelulusan mengenai cadangan Bajet Perak 2021 sebelum dibentangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu ini.

"Pada pagi tadi kita bentangkan semula cadangan bajet tersebut yang sebelum ini telah dibentang dan diluluskan oleh kerajaan negeri lama. Jadi secara formaliti hari ini kita bawa kembali ke dalam mesyuarat Exco untuk dibincang, diperhalusi dan dipersetujui oleh lima orang Exco.

"Sebahagian dari inti pati bajet hendaklah digunakan oleh negeri pada tahun 2021 bagi membangunkan semula ekonomi dan juga memberi peluang kepada peniaga-peniaga usahawan bangkit semula daripada kejatuhan Covid-19," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Saarani berkata, memandangkan Exco Kerajaan Negeri masih belum mempunyai portfolio masing-masing, pada sesi penggulungan nanti, hanya beliau yang akan menjawab segala persoalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika sesi perbahasan.

Sementara itu, kesemua portfolio Exco hanya akan diisi setelah lengkap lantikan lima lagi Exco Kerajaan Negeri.

Beliau dalam pada itu mengharapkan lantikan berkenaan dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dengan hanya lima Exco sedia ada adalah sukar untuk semua tugasan diagihkan dan disempurnakan berdasarkan pengalaman pada tahun 2009.

Mengenai lantikan wakil bukan Melayu di dalam pentadbiran kerajaan, Saarani berkata, perkara itu akan dilihat secara terperinci mengikut keperluan.

Sehingga kini, katanya, memang terdapat wakil-wakil bukan Melayu di peringkat kerajaan tempatan dan kampung-kampung.