Peruntukan Kementerian Wilayah lulus, pembangkang keluar dewan

Azhar Azizan
Azhar Azizan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Wilayah Persekutuan diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun sebentar tadi.

Beliau berkata, seramai tujuh Ahli Parlimen tidak bersetuju berbanding 110 yang bersetuju apabila RUU itu diundi.

"72 tidak hadir, tidak mengundi 31,” katanya ketika mengumumkan hasil undian.

Berdasarkan pembentangan Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu, kementerian itu menerima peruntukan berjumlah RM956.8 juta pada tahun 2021.

Terdahulu, pembangkang memohon undian belah bahagi selepas lebih 15 ahli Parlimen bangun menyokong usul supaya peruntukan bagi kementerian itu diputuskan menerusi kaedah itu.

Bagaimanapun, dewan bertukar kecoh berikutan tiga Ahli Parlimen yang sedang menjalani kuarantin dibenarkan hadir ke Dewan Rakyat untuk sesi pengundian.

"Jangan gadaikan keselamatan kami. Kami ada anak bini. Ini soal Covid-19, kami kena kuarantin 14 hari," teriak Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar).

Artikel Berkaitan:

"Tak payah undilah begini kita keluar saja," sahut pembangkang.

Berikutan itu, majoriti wakil pembangkang bertindak keluar dewan termasuk Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi pengundian kerana tidak berpuas hati kerana Azhar membenarkan tiga wakil rakyat terbabit hadir mengundi.

Bagaimanapun, beberapa wakil pembangkang dilihat tidak keluar termasuk Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar).

Azhar dalam reaksi balasnya sebelum itu menegaskan tindakan itu mengelakkan kejadian pelanggaran kuarantin yang berlaku minggu lalu kerana setiap ahli Parlimen berhak mengundi.

"Pada Khamis lalu terdapat seorang wakil rakyat dari sebelah sini (pembangkang) yang tidak patuhi perintah kuarantin datang mengundi, saya tak mahu perkara itu berlaku lagi lebih baik saya regulate pengundian ini lebih baik (dengan mengarahkan mereka yang perlu kuarantin memakai PPE) bagi menjaga keselamatan MP lain,” katanya.

Beliau juga mengesahkan kesemua ahli Parlimen yang terlibat hadir bagi mengundi hari ini sebenarnya telah didapati negatif Covid-19.