Wanita Vietnam mengaku tidak bersalah beri rasuah RM29,600

Thi Nhung dibawa keluar selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini selepas atas dakwaan cuba memberi rasuah RM29,600 kepada anggota polis.
Thi Nhung dibawa keluar selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini selepas atas dakwaan cuba memberi rasuah RM29,600 kepada anggota polis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita warganegara Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi rasuah RM29,600 kepada seorang pegawai polis pada awal bulan lalu.

Tertuduh, Do Thi Nhung, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan, Thi Nung didakwa memberi rasuah sebanyak RM29,600 kepada seorang pegawai polis di Jalan Padi Malinja 5, Taman Senai Baru, Kulai pada jam 9 pagi, 2 Disember lalu.

Suapan wanita tersebut didakwa sebagai dorongan agar pegawai polis terbabit tidak mengenakan tindakan atas kesalahan kerana memiliki minuman keras dipercayai tidak bercukai.

Wanita itu didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Ikhsan Jalaludin memohon agar mahkamah tidak memberikan jaminan terhadap tertuduh kerana wanita berkenaan sudah tinggal lebih masa di negara ini.

Kamarudin kemudian tidak membenarkan jaminan ke atas tertuduh dan sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Januari tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada 2 Disember lalu melaporkan, seorang wanita cuba menyogok polis supaya melepaskan seorang lelaki tempatan serta seorang wanita warga Indonesia yang membawa arak seludup dalam dua kereta.