PKR tidak jumud terima perbezaan pandangan: Ahmad

Ahmad Kasim
Ahmad Kasim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebuah parti reformasi dan tidak jumud untuk menerima perbezaan pandangan.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim berkata, PKR bersedia menerima pandangan yang berbeza daripada ahli mahu pemimpin muda dalam parti itu tetapi dalam satu kerangka kesatuan.

"PKR menghadapi pandangan yang berbeza terutama dalam kalangan anak muda dan mereka mempunyai idealisme yang tinggi namun tetap setia dengan parti.

"Kami tidak bimbang dengan anak muda yang mempunyai pemikiran sebegitu. Mereka sebahagian daripada kami yang berhak memberi pandangan dan bersuara. Itu tidak jadi halangan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian susulan penularan perbualan WhatsApp mengaitkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir yang didakwa mempersenda Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, apabila berada dalam persaingan parti politik sudah pasti ada individu dalam atau dari luar parti akan mengambil kesempatan di atas isu itu sama ada besar atau remeh.

"Jadi apabila ada pihak cuba mengambil kesempatan, kami dalam pihak dalaman parti ini akan mengambil pendekatan yang baik dan positif iaitu tidak jumud dalam menerima pandangan-pandangan.

"Itu lumrah dalam medan persaingan demokrasi berpolitik di Malaysia malah di dunia. Kita kena terima semua pandangan-pandangan ini," katanya.

Artikel Berkaitan: