Idam kejayaan berpasukan

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali (tengah) beramah mesra bersama finalis-finalis yang bertanding dalam Anugerah Persatuan Sukan Permotoran Malaysia SIC 2018 semalam. Foto: Bernama
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali (tengah) beramah mesra bersama finalis-finalis yang bertanding dalam Anugerah Persatuan Sukan Permotoran Malaysia SIC 2018 semalam. Foto: Bernama
A
A
A

TRIO negara yang pernah mengharumkan nama Malaysia dengan mengungguli perlumbaan di Perlumbaan Enam Jam Fuji, tahun lalu berharap mereka boleh menang sebagai satu pasukan pada Majlis Anugerah Sukan Permotoran Petronas SIC MAM 2018.

Ketiga-tiga pelumba negara iaitu Nabil Jeffri, Jazeman Jaafar dan Weiron Tan akan bersaing antara satu sama lain selepas dicalonkan dalam kategori Petronas International Driver of the Year pada majlis yang akan berlangsung pada 12 Februari ini.

Nabil, yang pernah meraih Anugerah Pembangunan Permotoran Kementerian Belia dan Sukan pada edisi lepas berkata, mereka layak dinobatkan dengan anugerah itu ekoran pencapaian cemerlang pada musim lalu.

"Nabil pertama kali dicalonkan dalam kategori ini tetapi Nabil rasa memang patut kita menang kerana kami telah mencipta satu sejarah sebagai satu pasukan tahun lepas. Tidak pernah lagi pasukan yang terdiri daripada semua pemandu Malaysia bertanding di peringkat dunia dan menang.

"Jadi saya rasa kita patut menang anugerah ini sebagai satu pasukan bukan secara individu kerana kami menang Kejuaraan Endurance Dunia (WEC) sama-sama," kata Nabil kepada media semalam.

Selain ketiga-tiga pemandu tercalon dalam kategori tersebut, Nabil dan Jazeman turut dicalonkan bagi anugerah Malaysia Motorsports People's Choice.

Untuk rekod, ketiga-tiga pemandu diberikan ruang menyertai WEC oleh Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada April lalu dan mereka pernah memenangi perlumbaan di Perlumbaan Enam Jam Fuji, Oktober lalu.

Gabungan negara ini juga pernah berada di penamat kedua di Litar Silverstone pada Ogos dan keempat di Le Mans, Shanghai dan Spa-Francorchamps.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pada edisi ketiga anugerah yang mula diperkenalkan pada 2016, sebanyak 14 kategori dipertandingkan termasuk dua anugerah baharu iaitu The Most Inspiring Female Motorsports Athlete dan SIC best e-Motorsports Athlete.

Ketua pegawai eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, anugerah itu diwujudkan khas untuk memberi pengiktirafan kepada atlet yang terlibat dengan sukan permotoran.

"Bagi saya pemilihan calon setiap tahun adalah sukar. Ramai sangat individu yang berkelayakan jadi agak sukar untuk panel pemilihan buat keputusan. Boleh dikatakan keseluruhan pencalonan diterima lebih daripada 20 pencalonan bagi setiap kategori,” katanya.

Selain itu, pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah turut dicalonkan dalam kategori Petronas International Rider of the Year bersama-sama Azlan Shah Kamaruzaman (ARRC), Habibullah Mohd Salleh (FIM Asia Supermoto) Danial Syahmi Shahril (ATC) dan Muhammad Helmi Azman (ARRC). - Bernama