X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Barang rampasan bernilai RM36.49 juta dilupuskan: KPDNHEP

Iskandar (kanan) menunjukkan antara beg tiruan yang dirampas untuk dilupuskan.
A
A

NILAI - Pelbagai barangan rampasan berjumlah RM36.49 juta dilupuskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Bahagian Penguat kuasa, hari ini.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, pelupusan barang tersebut adalah hasil rampasan yang dilakukan sepanjang tahun ini yang membabitkan 2,822 kes dan sudah selesai prosiding mahkamah.

Katanya, kebanyakan pelupusan barang rampasan melibatkan kes di bawah pelbagai akta antaranya Akta Hakcipta 1987, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Jualan Langsung 1999, Akta Cakera Optik 2000 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999, yang membabitkan barang rampasan berkaitan cetak rompak, barang tiruan dan standard keselamatan.

"Berdasarkan kepada tindakan kes yang dikompaun dan pendakwaan, sebanyak 2,822 kes yang melibatkan barang sitaan telah dilupuskan dan dijadikan hasil kerajaan iaitu hasil kutipan sementara sebanyak RM2.23 juta dan hasil jualan lelong, sebut harga, tender serta jualan terus berjumlah RM429,920.

"Lucut hak kewangan melalui perintah mahkamah sebanyak RM1.77 juta dan pemusnahan barang-barang kes bernilai RM32.06 juta," katanya sempena Majlis Pelupusan Ekshibit Perdana oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Ibu Pejabat Putrajaya, di Pusat Penyimpanan Setor KPDNHEP dekat Nilai, hari ini.

Barangan rampasan dilupuskan ke dalam mesin penghancur.
Barangan rampasan dilupuskan ke dalam mesin penghancur.

Dalam pada itu, Iskandar Halim memberitahu, sebanyak 731,102 premis di seluruh negara telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 9,448 kes dikesan atas pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan sejumlah kira-kira RM 74.09 juta.

Katanya, pelbagai peringkat rantaian peniaga telah dikesan melakukan kesalahan dan dikenakan kompaun mengikut kesalahan dengan nilai kompaun sebanyak RM 19.68 juta membabitkan 6,772 kes.

"Tindakan pendakwaan juga telah dikenakan ke atas 35 peniaga yang melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan dan mahkamah telah menjatuhkan denda sebanyak RM 7.42 juta," katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, pihaknya menerima banyak aduan mengenai penjualan barangan tiruan secara dalam talian.

Katanya, pihaknya bersama pemilik cap dagang sedang bergiat aktif mengesan mana-mana individu yang terlibat melakukan penjualan barangan tiruan melalui dalam talian.

"Kita tidak memantau setiap hari, tetapi kita bergiat sama memantau dengan pemilik cap dagang untuk mengesan mereka yang terlibat. Kalau pemilik cap dagang dapat mengenalpasti pihak yang terlibat, kita akan ambil tindakan undang-undang yang sepatutnya," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!