Lynas hentikan sementara operasi bulan depan

LYNAS
LYNAS
A
A
A
KUANTAN - Kilang memproses nadir bumi, Lynas Corporation Ltd (Lynas), akan menghentikan sementara operasi kilang mereka di Pusat Perindustrian Gebeng di sini, pada bulan depan.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Agung Tahunannya (AGM) di Sydney, Australia hari ini dengan alasan yang dikemukakan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amanda Lacaze, kononnya kerajaan Malaysia tidak membenarkan kilang itu meningkatkan pengeluaran pekatan lanthanide.

Bagaimanapun, Anggota Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mempertikaikan dakwaan itu memandangkan kerajaan Malaysia masih belum membuat sebarang keputusan berhubung operasi kilang pemprosesan nadir bumi itu.

Menurutnya, beliau secara peribadi tidak menyedari sebarang permohonan oleh Lynas untuk meningkatkan pengeluaran pekatan lanthanide menerusi kilangnya di sini.

“Sekiranya Lynas ingin menutup kilangnya secara sementara, itu adalah hak prerogatifnya. Mungkin untuk menjimatkan kos pengeluaran atau untuk memberi respons kepada keadaan pasaran untuk meningkatkan margin keuntungannya.

“Lagipun banyak cuti umum sepanjang Disember ini di Australia dan banyak syarikat menutup operasinya sempena Hari Krismas dan Tahun Baharu untuk menjimatkan kos,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Fuziah berkata, yang menjadi kebimbangan utama rakyat dan kerajaan Malaysia pada masa kini ialah bagaimana kilang syarikat berkenaan hendak membersihkan lebih sejuta tan sisa radioaktif dan toksik dari syarikat itu.

“Pencemaran dan sisa berbahaya yang ditinggalkan ada isu utamanya.

“Mengapakah kesihatan rakyat Malaysia perlu dikorbankan sedangkan tidak ada kerajaan lain di dunia yang akan membenarkan sisa toksik dari syarikat asing ditinggalkan dengan harapan kerajaan akan membersihkannya,” katanya. - Bernama
Artikel Berkaitan: