Dua lelaki ditahan, polis rampas 12,000 pil kuda

Zainuddin (tengah) menunjukkan pil kuda yang dirampas dalam dua serbuan Jumaat lalu.
Zainuddin (tengah) menunjukkan pil kuda yang dirampas dalam dua serbuan Jumaat lalu.
A
A
A

TANAH MERAH – Polis Tanah Merah merampas 12,000 biji pil kuda dengan nilai keseluruhan RM120,000 dan menahan dua lelaki dalam dua serbuan berasingan Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata, bertindak atas risikan, serbuan pertama melibatkan penahanan seorang lelaki berusia 47 tahun di Kampung Bukit Gading.

Katanya, polis menemui sebuah kenderaan yang berhenti di tepi jalan dan selepas memperkenalkan diri, suspek didakwa cuba membuang sesuatu dari tangan kanannya dan mahu melarikan diri.

“Berlaku pergelutan antara anggota dan suspek sebelum berjaya ditahan. Pemeriksaan menemui 8,000 biji pil kuda bernilai kira-kira RM80,000 dan wang tunai RM500.

"Polis turut menyita kenderaan yang dinaiki suspek dan semakan awal dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian saringan urin positif methamphetamine,” katanya.

Zainuddin memberitahu, serbuan pada jam 6.45 petang, polis menahan seorang lelaki berumur 21 tahun dan merampas 4,000 biji pil kuda di dalam poket seluar yang dipakai suspek.

“Anggaran pil ialah RM40,000. Suspek tiada rekod jenayah lampau tetapi positif methamphetamine.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 18 Disember ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel Berkaitan: