Penjana Kapital tarik lapan pengurus dana modal teroka global

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penjana Kapital Sdn Bhd (Penjana Kapital) telah berjaya menarik lapan pengurus dana modal teroka (VC) dari Amerika Syarikat, Korea Selatan, Indonesia dan Singapura untuk melabur dalam dalam syarikat permulaan Malaysia sebagai sebahagian daripada Program Dana Penjana Nasional yang bernilai RM1.2 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kelapan-lapan pengurus dana modal teroka ini telah dipilih dalam kalangan 51 pemohon seluruh dunia, dengan saiz dana RM1.57 bilion secara keseluruhannya, atau RM370 juta lebih tinggi daripada peruntukan yang diunjurkan.

“Rangsangan modal teroka ini adalah sebahagian daripada usaha meluas kerajaan untuk menambah baik persekitaran syarikat permulaan negara dan menjana lebih banyak peluang perniagaan, terutamanya dalam sektor yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi untuk ekonomi.

“Bagi jangka masa panjang, Penjana Kapital telah menubuhkan Pelan Pemindahan Pengetahuan (KTP) untuk menetapkan matlamat yang jelas bagi semua peserta yang terlibat.

“Terdapat 91 KTP di bawah Penjana Kapital, dan matlamatnya adalah untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 1,800 pekerjaan berkemahiran tinggi melalui projek dalam syarikat yang dilaburkan atau pemindahan pengetahuan,” kata beliau ketika berucap pada majlis Penyerahan Surat Anugerah Penjana Kapital kepada lapan pengurus dana modal teroka di sini hari ini.

Dana Penjana Nasional ini ialah program padanan funds-of-funds, yang merupakan sebahagian daripada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Dana modal teroka ini terbahagi kepada tahap kitaran hidup modal teroka yang berlainan iaitu dua Seed, dua siri A & B, dua Pertumbuhan dan dua tahap pembiayaan Hutang Teroka.

Kerajaan Malaysia akan memadankan sehingga RM600 juta berdasarkan padanan 1:1, dana yang dijana oleh pengurus dana VC daripada pelabur tempatan asing dan swasta, dengan sasaran peruntukan sebanyak RM1.2 bilion.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, salah satu pengurus dana modal teroka di bawah tahap pembiayaan Siri A&B, KB Investment Co Ltd dari Korea Selatan yang bekerjasama dengan RHL Ventures Sdn Bhd berkata keputusan untuk melabur di Malaysia adalah peluang untuk memahami kerajaan dan transformasi pasaran.

“Walaupun Malaysia agak ketinggalan, kami masih menganggap Malaysia menarik dan langkah bijak untuk melabur di sini kerana ia memberi lebih banyak peluang kepada semua untuk bersiap sedia dan mewujudkan modal dan sumber yang tiada had,” kata rakan pengurusan, Eric Yoo Jung Hohe ketika sesi soal jawab maya di sini.

Penjana Kapital diperbadankan pada 1 Julai, 2020 sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia.

Ia diwujudkan untuk menyokong digilitasi dan automasi perniagaan Malaysia dengan membawa masuk dana pelabur antarabangsa dan tempatan ke dalam ruang modal teroka tempatan. - Bernama