Jawatankuasa khas kaji semula dapatan kajian ERC

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi mengkaji semula dapatan kajian Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya atau Electoral Reform Committee (ERC).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kajian tersebut akan didedahkan kepada umum termasuk di Dewan Rakyat.

"Jawatankuasa Khas ini diketuai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan beberapa menteri Kabinet lain.

"Bagi pihak kerajaan, saya percaya laporan ini akan dibentangkan dalam Dewan Rakyat untuk tatapan ahli Parlimen dan jika mempunyai keperluan boleh dibahaskan secara langsung atau tidak langsung," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, beliau menjawab pertanyaan lisan daripada Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang bertanya mengenai sama ada kementerian akan menerbitkan laporan akhir ERC kepada ahli Parlimen dan secara awam serta tindakan kementerian untuk mereformasikan dan menambah baik sistem dan proses pilihan raya di Malaysia.

Takiyuddin menjelaskan, dapatan kajian ERC mengandungi 49 syor penambahbaikan yang menyentuh perihal sistem, proses dan undang-undang berkaitan pilihan raya.

Katanya, ia bukan sahaja melibatkan aspek perubahan kepada proses pilihan raya, namun juga perubahan dalam pelbagai aspek pengurusan kerajaan yang turut melibatkan penglibatan pelbagai kementerian dan agensi.

"Sehubungan itu, kerajaan sedang meneliti satu per satu syor yang dikemukakan untuk membuat penilaian terhadap kebolehupayaan dan keutamaan pelaksanaannya.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan memerlukan masa untuk membuat penelitian kerana perlu mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pelbagai agensi khususnya badan berkepentingan utama seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.

Tambah beliau, ERC juga telah menyenaraikan pelan tindakan secara berfasa.

"Antaranya ialah mencadangkan diwujudkan sebuah badan penyelaras dan pemantauan tindakan untuk menyelaras dan memantau tindakan oleh pelbagai agensi kerajaan terhadap setiap syor dikemukakan," katanya.

ERC yang ditubuhkan oleh kerajaan pada Ogos 2018 telah menggariskan 15 agenda reformasi dalam kajiannya berhubung penambahbaikan sistem dan undang-undang pilihan raya.

Ini termasuk kajian mengenai proses dan mekanisme bagi pemilih berdaftar Malaysia yang berada di luar negara.