PST catat jualan RM409.2 juta sejak PKP

Ahmad (kanan) melihat produk sejuk beku dan telur ikan semasa meninjau barang keperluan serta bahan basah di PST Permas Jaya, Bandar Baru Permas, Johor Bahru pada Ahad.
Ahmad (kanan) melihat produk sejuk beku dan telur ikan semasa meninjau barang keperluan serta bahan basah di PST Permas Jaya, Bandar Baru Permas, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 48 Pasar Segar Terkawal (PST) kelolaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) seluruh negara mencatatkan nilai jualan RM409.2 juta sejak diwujudkan pada Mac hingga November lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, PST bertujuan memastikan kelangsungan bekalan dan kecekapan pengedaran bekalan makanan negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Katanya, PST menawarkan sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, ikan dan daging berkualiti serta 10 peratus lebih murah daripada tempat lain kerana tidak melalui orang tengah selain turut menjual barangan runcit serta produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“PST dibuka mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya rakyat dapat berbelanja dalam keadaan selamat dan lebih terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat PST Permas Jaya, Bandar Permas Jaya di sini pada Ahad.

Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Datuk Ghazale Muhamad dan Pengarah FAMA Johor, Shahrizan Sudiman.

Ahmad menyampaikan sumbangan daripada Projek Gerobok Rezeki kepada penerima di PST Permas Jaya, Bandar Baru Permas, Johor Bahru pada Ahad.
Ahmad menyampaikan sumbangan daripada Projek Gerobok Rezeki kepada penerima di PST Permas Jaya, Bandar Baru Permas, Johor Bahru pada Ahad.

Ahmad berkata, FAMA belum bercadang menambah bilangan PST tahun depan kerana jumlah sedia ada sudah mencukupi walaupun mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, terdapat lima PST di negeri ini melibatkan 273 usahawan yang berjaya mencatatkan nilai jualan RM26 juta iaitu PST Datin Halimah dan PST Permas Jaya di Johor Bahru, PST Bukit Gambir di Muar serta PST Mersing dan PST Endau di Mersing.

“Nilai jualan PST di Johor sejak Mac lalu meningkat setiap bulan iaitu RM41,233 pada Mac, RM342,556 (April), RM652,224 (Mei), RM321,778 (Jun), RM252,442 (Julai), RM282,566 (Ogos), RM224,760 (September), RM265,122 (Oktober) dan RM280,013 (November),” ujarnya.

PST Permas Jaya, kata Ahmad, mula beroperasi pada 1 Februari lalu dengan kos pembinaan RM2.5 juta di atas kawasan seluas kira-kira 0.6 hektar yang menempatkan 82 lot kedai dengan 37 peniaga.

FAMA juga katanya, memperluaskan perkhidmatan dalam tempoh PKP dikuatkuasakan dengan menawarkan jualan PST secara atas talian menerusi portal Agrobazaar Online yang mendapat sambutan positif.

Sebagai contoh, katanya, di Johor sahaja barang jualan PST mencatat nilai jualan RM242,000.

ARTIKEL BERKAITAN: Timbalan Menteri lawat syarikat usahawan bimbingan FAMA

Petani, penternak dan nelayan terjejas banjir akan diberi insentif