Elak timbul Kluster STL

No Image Caption
A
A
A

SEMUA pemain dan pegawai pasukan yang terlibat dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2020 wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan penganjur bagi mengelakkan daripada timbulnya ‘Kluster STL’.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, penetapan SOP kali ini lebih ketat khususnya bagi mengawal pergerakan para pemain dan pegawai pasukan sepanjang STL 2020 berlangsung.

Menurut Ahmad, pematuhan kepada SOP berkenaan amat penting bagi kesemua pihak yang terlibat bagi menjamin kelancaran STL 2020 yang telah ditangguhkan sejak 10 Oktober lalu.

“Setiap pemain dan pegawai pasukan tidak dibenarkan keluar dari pusat kuarantin berkenaan kecuali dari pusat kuarantin ke venue pertandingan iaitu di Stadium Titiwangsa sepanjang STL berlangsung.

“Mereka juga tidak dibenarkan menggunakan kenderaan sendiri, sebaliknya wajib menaiki kenderaan yang disediakan sebagai pengangkutan bagi urusan pergi dan balik dari pusat kuarantin ke venue pertandingan,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Pada masa sama, Ahmad berharap tidak berlaku sebarang pelanggaran SOP membabitkan mana-mana pemain atau pegawai pasukan sepanjang penganjuran baki Liga Premier STL sehingga hujung bulan ini.

“Kita minta semua pemain dan pegawai pasukan bertenang walaupun mereka perlu menghadapi SOP yang ketat. Mereka perlulah berkorban sedikit supaya tak timbul pula ‘Kluster STL’ dalam situasi negara masih dilanda pandemik Covid-19 ketika ini,” tegasnya.

Ahmad berkata, pihaknya juga terpaksa mengetatkan jadual perlawanan sebagai usaha PSM untuk mengelakkan tempoh penganjuran STL 2020 berlanjutan lebih lama.

Artikel Berkaitan:

“Tidak seperti tiga minggu pertama sebelum ini apabila perlawanan diadakan pada Jumaat, Sabtu dan Ahad, mulai minggu keempat STL Liga Premier akan diadakan pada hari Isnin, Selasa dan Rabu.

“Kemudiannya bagi pusingan kedua, ketiga dan keempat, perlawanan akan diadakan setiap empat hari sehinggalah saingan STL tamat pada 31 Disember nanti.

“Kami juga bercadang untuk mengadakan saingan Champions Cup di Johor pada 10 Januari tahun depan tetapi segala-galanya bergantung kepada keadaan semasa penularan pandemik Covid-19,” jelasnya.