Bila kucing tidak bergigi

No Image Caption
A
A
A

PERNAHKAH anda melihat kucing tidak bergigi? Sehingga kini, penulis belum pernah berjumpa seekor pun kucing begitu. Jika ia wujud dan berlaku, sang tikus pasti berlari ke sana ke mari, memukul canang serta membawa mulut akan berita gembira ini. Ketakutan mereka terhadap kucing juga pasti hilang kerana pemangsa itu kehilangan senjata utamanya.

Senario kucing dan tikus ini mengingatkan penulis kepada peribahasa bila kucing tidak bergigi, tikus berani melompat tinggi. Peribahasa ini sesuai menggambarkan situasi yang dialami oleh seorang ketua atau pemimpin yang tidak lagi diendahkan, digeruni mahupun dihormati setelah dia tidak berjawatan tinggi lagi.

Hal ini adalah lumrah kehidupan yang mana orang atasan hanya disanjung tinggi semasa mereka bertaji sahaja, namun bila tajinya patah hal sebaliknya biasa berlaku. Ketua atau pemimpin perlu memahami dan menerima hakikat ini walaupun ia amat pahit untuk ditelan. Disebabkan gambaran daripada peribahasa ini, tidak hairanlah mengapa sesetengah ketua mahu terus berkuasa dan mempertahankan kedudukannya dalam organisasi.

Dalam coretan kali ini, penulis bukanlah ingin berbahas tentang usaha seseorang yang ingin kekal berkuasa, tetapi penulis ingin mengajak pembaca menghayati ciri-ciri pemimpin tulen. Sebenarnya, adalah agak mudah untuk menilai keberkesanan dan aura seorang pemimpin tulen iaitu dengan menilai suasana organisasi setelah pemimpin tersebut meninggalkan organisasi atau tidak lagi berjawatan tinggi.

Jika suasana organisasi menjadi hidup, bermaya dan bertenaga serta pekerja melonjak kegembiraan dek perubahan kepimpinan, tahulah kita bahawa gaya kepimpinan ketua itu tidak disenangi oleh warga dan tidak berkesan. Jika suasana organisasi menjadi sebaliknya, sudah pasti gaya kepimpinan ketua tersebut amat diterima dan berkesan dalam kalangan warga.

Pengaruh dan gaya kepimpinan mencetuskan fenomena tertentu kepada organisasi. Persoalan tentang siapa yang memegang teraju, sifat kepimpinannya, dan ideologinya sentiasa bermain dalam minda warga. Secara umum, warga biasanya mempunyai beberapa ciri ketua yang diingini dan tidak diingini. Ciri-ciri tersebut berkait rapat dengan gaya kepimpinan. Teori dan kajian menunjukkan bahawa perubahan kepimpinan pasti berlaku kerana organisasi berada dalam persekitaran yang dinamik dan organik. Ia boleh berlaku sama ada secara cepat, kerap, lambat atau perlahan.

Berapa lama seseorang pemimpin berkuasa dan berada di atas bukanlah isu pokok. Yang lebih penting kepada warga adalah bagaimana pemimpin tersebut mewarnai organisasi sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Hakikatnya, bergelar dan menjadi seorang ketua atau pemimpin bukanlah tugas yang mudah. Cabaran yang sentiasa wujud dan berubah dalam persekitaran menjadikan tugas memimpin menjadi lebih sukar. Pemimpin juga akan sentiasa diperhati, dinilai dan dibanding-bandingkan dengan pemimpin terdahulu oleh orang di sekelilingnya. Oleh yang demikian, seseorang pemimpin perlu bijak melaksana tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepadanya. Sekiranya pemimpin gagal mempamerkan gaya kepimpinan berkesan, maka dia telah gagal memberi warna indah kepada organisasi dan pengikutnya.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya seseorang individu mendapat peluang menjadi pemimpin, dia mesti menggunakan peluang itu sebaiknya. Sementelah berpeluang berada di atas, perkara utama yang harus difikirkan adalah bagaimana dia boleh memberi khidmat terbaik kepada semua warga dan organisasi. Selain itu, dia juga harus memikirkan dan berusaha melaksana perubahan dan penambahbaikan demi kesejahteraan warga dan organisasi secara keseluruhan.

Jika semua pemimpin berfikiran dan bertindak sebegini, dia akan tetap dikenang dan dirindui walaupun tidak lagi memegang tampuk kepimpinan organisasi. Ketiadaannya juga amat dirasai dan mungkin ditangisi.

* Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Profesor Pengurusan Sumber Manusia dan Pengurusan Organisasi Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia