MUIS keluar panduan penggunaan vaksin Covid-19

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengeluarkan panduan mengenai penggunaan vaksin Covid-19 bagi masyarakat Islam di republik itu.
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengeluarkan panduan mengenai penggunaan vaksin Covid-19 bagi masyarakat Islam di republik itu.
A
A
A

SINGAPURA - Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hari ini mengeluarkan irsyad (panduan) agama mengenai penggunaan vaksin Covid-19 bagi masyarakat Islam di republik itu, lapor BERITAmediacorp.

MUIS mengambil pendirian bahawa penggunaan vaksin Covid-19 dibenarkan bagi masyarakat Islam.

"Kami menasihatkan dan menggalak masyarakat Islam di sini supaya mendapatkan vaksin sebaik ia disediakan dan disahkan selamat serta berkesan secara perubatan.

"Vaksin adalah keperluan asas untuk melindungi nyawa dalam konteks pandemik global sekarang," kata MUIS dalam satu kenyataan media.

MUIS menambah pandangan agama berhubung vaksin Covid-19 harus mengambil pendirian lebih menyeluruh yang mengatasi isu sempit berhubung halal ataupun dibolehkan bahan dalam vaksin tersebut.

Menurut MUIS, Pejabat Mufti mempertimbangkan dengan teliti tiga aspek utama dalam mencapai keputusan itu berikutan vaksin itu sendiri dilihat sebagai 'keperluan penting' dalam menyelamatkan nyawa dan memastikan masyarakat dapat berfungsi secara selamat.

"Vaksin adalah satu cara penting dalam menegakkan prinsip kesucian nyawa manusia dan mengelakkan bahaya kerana ia melindungi masyarakat daripada kesan buruk virus Covid-19.

"Kedua, adalah dari sudut keselamatan dan keberkesanan vaksin. Jawatankuasa itu mendapati sebarang vaksin Covid-19 harus tidak mempunyai kesan buruk dari segi perubatan dan sudah terbukti secara saintifik tidak membahayakan mereka yang mengambil vaksin berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pertimbangan itu penting selaras dengan prinsip mengelakkan bahaya seperti yang dijelaskan dalam kaedah fiqh.

"Akhir sekali, adalah hukum hakam berhubung bahan-bahan yang digunakan dalam vaksin. Ada situasi yang membolehkan penggunaan bahan-bahan yang haram dan najis bagi perubatan seperti di dalam beberapa amalan Nabi.

"Tambahan pula, bahan digunakan dalam proses penghasilannya menjalani pelbagai lapisan proses kimia seperti penapisan yang membuatnya tidak dapat dikesan atau sedikit saja tertinggal dalam produk terakhir," kata MUIS.

MUIS berkata, badan tertinggi ehwal masyarakat Islam itu memberi contoh ubat heparin menggunakan enzim dari babi serta vaksin rotavirus yang menggunakan trypsin juga sejenis enzim.

"Proses ini sama dengan 'istihala' yang mana bahan asli berubah bentuk dan sudah tidak lagi terlarang.

"Lantaran itu, dalam keadaan sedemikian. produk akhir (ubat atau vaksin) dianggap boleh digunakan masyarakat Muslim," katanya. - Agensi