UniSZA-Nahrim meterai MoU tumpu atasi isu hakisan, banjir

Hassan Basri (dua dari kiri) bersama M Nasir ketika memeterai MoU antara UniSZA bersama Nahrim hari ini.
Hassan Basri (dua dari kiri) bersama M Nasir ketika memeterai MoU antara UniSZA bersama Nahrim hari ini.
A
A
A

KUALA NERUS - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersama Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim) memeterai memorandum persefahaman (MoU) meliputi kerjasama dalam beberapa bidang termasuk mengatasi masalah banjir dan hakisan di Terengganu.

Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, jalinan kerjasama itu akan memberikan manfaat dalam merancakkan penyelidikan universiti serta perkongsian kepakaran industri dalam perjalanan penyelidikan jangka panjang berskala besar.

"Hubungan kerjasama penyelidikan secara tidak langsung antara UniSZA dan Nahrim sudah lama antaranya melibatkan projek perundingan 'Penilaian Prestasi Keupayaan Loji Rawatan Kumbahan Indah Water Konsortium Di Lembah Klang'.

"Terbaharu kita jalankan Program Denai Sungai Kebangsaan di Kalang Warisan, Kuala Terengganu yang diharap akan menjadi projek rintis dalam hubungan kerjasama rasmi di antara UniSZA, Nahrim serta Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena penyerahan MoU antara UniSZA bersama Nahrim di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Nahrim, Datuk Ir Dr M Nasir Md Noh.

Dalam pada itu, Hassan Basri berkata, projek Kalang Warisan antara contoh projek yang merentasi disiplin yang mana ia melibatkan kepakaran dalam bidang alam sekitar, pelancongan, reka bentuk industri/produk, sains sosial, sukan dan rekreasi.

Katanya, kerjasama yang terjalin akan memberikan impak dalam beberapa perkara antaranya projek penyelidikan bersama dalam penilaian tasik semula jadi di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Kerjasama ini juga memperkukuh kerjasama bersama dalam bidang akademik dan penyelidikan terutamanya dalam bidang air, persekitaran, kejuruteraan pantai dan bidang atau sub-bidang yang menyokong penyelidikan bidang air antara kedua-dua belah pihak atas dasar kesamarataan dan faedah bersama," katanya.