‘No Anwar, No DAP’

Hantaran Shahar Abdullah di Facebook
Hantaran Shahar Abdullah di Facebook
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah menafikan desas-desus yang mengatakan beliau menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Menurut satu hantaran di Facebook, Mohd Shahar menegaskan bahawa beliau tetap dengan pendirian keputusan UMNO iaitu ‘No Anwar, No DAP’.

Beliau berkata, beliau akan terus pertahankan apa jua keputusan UMNO demi agama, bangsa dan negara sebagai ahli parti UMNO dan ahli Parlimen UMNO.

“Saya juga akan terus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam memastikan negara terus stabil dan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya.

Menurut laporan sebuah portal berita hari ini, Anwar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) mewakili Pakatan Harapan (PH) bersama-sama DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) mendapat sokongan baharu apabila disokong oleh 10 ahli Parlimen UMNO termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Selain Mohd Shahar sendiri, laporan itu juga menjelaskan antara MP UMNO lain yang terlibat ialah MP Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, MP Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, MP Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, MP Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, dan MP Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Artikel Berkaitan: