X

Kindly register in order to view this article
!

Zoo Kelantan akan dibuka semula

Selepas ditutup hampir 20 tahun lepas, Zoo Kuala Krai iaitu satu-satunya zoo di Kelantan dijangka dibuka semula pada bulan Jun tahun depan.
A
A

KOTA BHARU - Selepas ditutup hampir 20 tahun lepas, Zoo Kuala Krai iaitu satu-satunya zoo di Kelantan dijangka dibuka semula pada bulan Jun tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, setakat ini kerja-kerja bagi menyiapkan infrastruktur seperti pagar, laluan, landskap serta kandang haiwan dan sangkar burung sedang dilakukan.

Menurutnya zoo berkenaan adalah berkonsepkan Taman Hutan Bandar di mana pengunjung boleh "bermain-main" dan berinteraksi dengan haiwan yang ada di situ.

Beliau berkata, haiwan liar lain seperti harimau, buaya, singa atau gajah tidak akan ditempatkan di situ disebabkan kos penjagaannya yang tinggi.

"Di zoo itu kita akan lebih banyak meletakkan haiwan seperti burung, landak, rusa, kambing pelbagai spesis dan lain-lain.. pengunjung khususnya kanak-kanak boleh bermain dengannya.

"Sebagai contoh, kanak-kanak boleh memberi makanan kepada haiwan, dan ini membentuk hubungan antara manusia dengan haiwan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Dr Izani berkata, apa yang paling menarik ialah kawasan zoo itu yang terletak di pinggir bandar Kuala Krai memang mempunyai pemandangan yang cantik kerana terletak di kawasan tinggi selain laluannya yang agak berbukit.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bayaran tertentu akan dikenakan kepada pengunjung zoo yang terletak di kawasan seluas 2.22 hektar itu, yang bertujuan untuk menguruskan kos penyelenggaraan dan membayar gaji kakitangan.

Menariknya, beliau berkata, zoo ini mempunyai empat aras di mana aras bawah mempunyai surau dan kawasan rehat untuk keluarga bersantai.

Difahamkan, zoo dan Muzium Kuala Krai beroperasi selama berpuluh-puluh tahun sebelum ditutup dan diganti dengan Taman Burung pada 2007 yang akhirnya turut ditutup pada 2010 ekoran kos perbelanjaan makanan haiwan yang tinggi. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!