Petani, penternak dan nelayan terjejas banjir akan diberi insentif

Ahmad (dua dari kanan) meninjau barang keperluan dan bahan basah di PST Permas Jaya, Bandar Baru Permas, Johor Bahru hari ini.
Ahmad (dua dari kanan) meninjau barang keperluan dan bahan basah di PST Permas Jaya, Bandar Baru Permas, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sedang mengenal pasti jumlah petani, penternak dan nelayan seluruh negara yang terjejas akibat banjir termasuk kerugian yang dihadapi mereka.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, insentif akan diberikan selepas proses pengukuran dan siasatan dilakukan sejurus musim tengkujuh tamat.

"Petani, penternak serta nelayan digesa untuk membuat laporan kepada pihak berwajib sekiranya terdapat kerosakan berlaku. Antara yang terjejas Johor, Melaka serta negeri di pantai timur.

"Pegawai kita akan datang mengukur, siasat dan membuat bancian setakat mana kerosakan. Bantuan pula diberikan bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga barangan mengikut nilai kerugian masing-masing.

"Ini kerana jumlah kerosakan tidak sama iaitu mengikut keluasan kawasan pertanian atau penternakan. Kita akan perincikan bantuan itu," katanya dalam sidang media selepas melawat Pasar Segar Terkawal (PST) Permas Jaya, Bandar Permas Jaya di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ghazale Muhamad dan Pengarah FAMA Johor, Shahrizan Sudiman.

ARTIKEL BERKAITAN: Banjir gelombang ketiga di Terengganu pulih sepenuhnya

Artikel Berkaitan:

Buruh lemas ketika cuba redah banjir

Ahmad berkata, insentif perlu diberikan memandangkan mereka merupakan penyumbang utama dalam pembangunan bekalan makanan negara.

"Satu pendekatan kita, kita mahu beri insentif dan bantuan kepada mereka dalam apa jua keadaan sekali pun. Cuma kita harap musim tengkujuh ini segera berakhir kerana ketiga-tiga ini merupakan sektor utama dalam aktiviti kementerian ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menyasarkan 8,000 usahawan di bawah bimbingan FAMA termasuk peniaga di semua 48 PST seluruh negara akan memasarkan produk atau barang mereka secara dalam talian menerusi portal Agrobazaar Online.

Katanya, sejak 2018 hingga kini, lebih 4,000 usahawan sudah berdaftar dengan portal berkenaan dan trend terbaharu itu memberangsangkan contohnya PTK Permas Jaya berjaya mencatatkan nilai jualan RM2.8 juta sejak Mac sehingga November lalu.