Pas tidak gopoh soal agihan kerusi

Abdul Hadi (tengah) pada program Dialog Media bersama Presiden Pas di Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut hari ini.
Abdul Hadi (tengah) pada program Dialog Media bersama Presiden Pas di Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pas menegaskan parti itu tidak gopoh dalam soal pengagihan kerusi dalam Muafakat Nasional selagi tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) belum diumumkan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, apa yang penting ialah semua parti yang terlibat iaitu UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah parti yang telah didaftarkan.

"Itu yang paling penting. Ada pun gagasan itu suatu perkara yang tidak wajib dan sehingga ke hari ini kita telah berjaya mendaftarkan Perikatan Nasional.

"Muafakat Nasional walaupun belum didaftarkan tetapi dapat berjalan dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Dialog Media bersama Presiden Pas di Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad dan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Takiyuddin Hassan.

Mengulas lanjut, beliau yang merupakan Ahli Parlimen Marang berkata, soal kedudukan pengagihan kerusi akan dibincangkan dengan saksama bagi membentuk sebuah kerajaan kukuh.

"Ada pun dari segi kedudukan kerusi itu perlu kepada masa dan kita tahu bila pilihan raya. Kita tak gopoh dalam perkara ini.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang penting ialah kita dapat membahagi kerusi dengan cara yang saksama, dapat membentuk kerajaan yang kukuh di masa akan datang," katanya.