Hilang dua bulan, wanita OKU ditemui selamat

Noorhaslinda (kiri) bersama kakaknya yang berjaya ditemui oleh orang awam di sebuah kedai di Terminal Bas Seremban pada Jumaat lepas.
Noorhaslinda (kiri) bersama kakaknya yang berjaya ditemui oleh orang awam di sebuah kedai di Terminal Bas Seremban pada Jumaat lepas.
A
A
A

JELEBU - Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sejak Oktober lalu ditemui dalam keadaan selamat oleh orang awam di sebuah kedai di Terminal Bas Seremban pada Jumaat lepas.

Adiknya, Noorhaslinda Rosli, 30, berkata, mereka sekeluarga sangat gembira apabila kakaknya, Noorazura, 35, berjaya ditemui selepas lebih dua bulan hilang.

"Kami dimaklumkan berhubung penemuan kakak kira-kira jam 12.30 tengah hari oleh pekerja kedai berkenaan selepas kakak didapati duduk dan hanya memerhatikan mereka membuat kerja tanpa memesan makanan.

"Mereka kemudiannya dapat mengecam kakak susulan ada terbaca kisah kehilangannya yang saya kongsi di laman sosial Facebook," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Noorhaslinda turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan membantunya sekeluarga mencari kakaknya.

"Terima kasih juga kepada pekerja kedai berkenaan kerana belanja kakak makan sementara menunggu kami tiba.

"Alhamdulillah kakak selamat dan selepas ini kami adik-beradik akan bergilir-gilir menjaga kakak," katanya yang menetap di Bangi, Selangor.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Noorazura didapati hilang selepas keluar dari rumah di Kuala Klawang disini sejak 1 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Noorazura merupakan anak sulung daripada lima beradik tinggal bersama ibunya keluar seorang diri membeli makanan di sebuah kedai makan di Kuala Klawang.

Dia bagaimanapun disedari hilang oleh ibunya selepas tidak pulang ke rumah sehingga lewat petang.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Sudah sebulan kakak hilang'