[VIDEO] Tukang karut cilik luar biasa

Zainuddin Adik Manja mengesan bakat MZ ketika dia berusia empat tahun.
Zainuddin Adik Manja mengesan bakat MZ ketika dia berusia empat tahun.
A
A
A

PASIR PUTEH - [DIKEMAS KINI] Kepetahan melontar bait-bait dikir karut secara spontan tanpa lirik cukup 'luar biasa' bagi Muhamad Zulfadhli Zainuddin kerana usianya baharu lima tahun.

Gelagat Muhamad Zulfadhli atau lebih dikenali sebagai MZ melontar bait dikir itu menerusi satu rakaman video yang tular di media sosial sejak tiga hari lalu menyerlahkan bakat istimewa kanak-kanak itu seolah-olah dia seorang tukang karut berpengalaman.

Video itu dimuat naik oleh seorang pelanggan yang berkunjung ke gerai Zainuddin Mat Nor, 49, bapa kanak-kanak berkenaan di Kampung Kubang Sawa, Selising, di sini selepas terpegun dengan aksi spontan MZ.

Bukan itu sahaja, MZ turut memiliki kelebihan daya ingatan yang tinggi apabila mampu menguasai sesuatu perkara dalam tempoh singkat selain membaca dan menulis dengan lancar serta bijak sifir.

MZ melontar bait-bait dikir karut bersama ayahnya, Zainuddin Adik Manja.
MZ melontar bait-bait dikir karut bersama ayahnya, Zainuddin Adik Manja.

Bakat luar biasa MZ itu diwarisi daripada ayahnya yang merupakan Tok Juara dikir barat terkenal iaitu Zainuddin Adik Manja.

Zainuddin berkata, bakat anak bongsu daripada lapan beradik itu dikesan pada usia empat tahun dan beliau juga terkejut dengan bakat luar biasa MZ.

"Saya menguji MZ dengan memberi rangkap awal pantun sebagai tukang karut. Sebaik sahaja rangkap awal dilontarkan kepadanya, dengan spontan dia akan menjawab.

Artikel Berkaitan:

"Bermula dari situlah saya lihat MZ memiliki kebolehan luar biasa dalam seni dikir barat," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, setiap hari beliau akan mengasah bakat MZ dengan mengajar perkara baharu mengenai dikir barat.

MZ bersama bapanya, Zainuddin Adik Manja, serta abang dan dua ibunya di hadapan kedai makan mereka di Kampung Kubang Sawa, Selising, Pasir Puteh.
MZ bersama bapanya, Zainuddin Adik Manja, serta abang dan dua ibunya di hadapan kedai makan mereka di Kampung Kubang Sawa, Selising, Pasir Puteh.

Zainuddin yang merupakan Tok Juara terbaik kebangsaan pada tahun 2003 bersama Kumpulan Dikir Barat Sri Merkang Pasir Puteh mendedahkan anak kelimanya Muhamad Zakri, 23, yang kini menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM) turut mewarisi darah seninya itu.

Beliau yang popular dengan lagu 'angin lalu' amat berharap kedua-dua anaknya itu mampu meneruskan legasinya dalam seni dikir barat.