[EKSKLUSIF] 'Stadium Mini Ffira Mikah tiada kaitan nama saya'

Stadium Mini Ffira Mikah di Kuala Nerang yang menimbulkan kontroversi.
Stadium Mini Ffira Mikah di Kuala Nerang yang menimbulkan kontroversi.
A
A
A

ALOR SETAR - Pegawai Daerah Padang Terap, Hakim Ariff Md Noor menyangkal dakwaan yang tular bahawa beliau menamakan Stadium Mini Ffira Mikah di daerah itu sempena dengan namanya yang diterbalikkan.

Menurut beliau, nama baharu stadium berkenaan tiada kaitan dengan namanya dan hanya secara kebetulan menyamai nama beliau sekiranya diterbalikkan.

“Tiada kena mengena dengan nama saya. Nama stadium mini ini mempunyai maksud tersirat. Nama itu dipilih dan dicadangkan dalam mesyuarat pentadbiran.

"Dalam bahasa Sepanyol atau Greek, ‘Ffira’ bermaksud sesuatu yang hebat, manakala ‘Mikah’ dalam bahasa Arab sempena nama malaikat,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Hakim Ariff yang juga Yang Dipertua Majlis Daerah Padang Terap berkata, selepas dilakukan penambahbaikan dan penjenamaan semula stadium berkenaan, pihaknya mahu menyuntik semangat baharu dengan pemilihan nama unik bagi menarik perhatian ramai.

“Saya bukan nak kejar glamor. Hasrat saya mahu Padang Terap nampak lebih bersih, cantik dan ceria. Saya tak mahu daerah ini kekal macam dahulu, mereka tak tahu cerita sebenar dan buat andaian begitu,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi merungkai isu tular di media sosial berkaitan nama stadium mini di Padang Terap itu yang didakwa menggunakan namanya secara terbalik sekali gus dipersoalkan oleh netizen.

Artikel Berkaitan:

Hakim Ariff ketika merasmikan pembukaan semula Stadium Mini Ffira Mikah pada 7 Disember lalu.
Hakim Ariff ketika merasmikan pembukaan semula Stadium Mini Ffira Mikah pada 7 Disember lalu.

Stadium Mini Ffira Mikah Kuala Nerang itu dimiliki Majlis Daerah Padang Terap dan dirasmikan oleh beliau selaku Pegawai Daerah pada 7 Disember lalu selepas dinaik taraf.

Sebuah video berdurasi dua minit mempromosikan stadium berkenaan yang diurus oleh sebuah persatuan bola sepak turut tular sejak kelmarin.

Mengulas lanjut, Hakim Ariff berkata, beliau memohon peruntukan daripada kerajaan negeri sebanyak RM200,000 untuk kerja-kerja menaik taraf stadium berkenaan yang sebelum ini amat daif.

“Stadium itu sebelum ini keadaannya buruk dan persekitaran terbiar, banyak aspek dan fasiliti dibaiki antaranya tandas, bilik mandi dan padang. Kita cat warna-warni untuk tampil keceriaan agar ada tarikan.

"Pada masa sama, saya mahu jadikan stadium itu sebagai pusat kecemerlangan bagi melonjakkan semula sukan bola sepak sebagai produk daerah. Pengisian stadium itu lebih penting berbanding namanya,” katanya.

Katanya, pihaknya tiada masalah untuk menukar nama kontroversi itu dan bersedia menurunkan papan nama Ffira Mikah bagi melenyapkan dakwaan.

“Selepas ini, ia akan dikenali sebagai Stadium Mini Kuala Nerang dan kita akan turunkan papan nama yang mengundang kontroversi itu,” katanya.