Penjenayah pecah rumah diberkas

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mematahkan kegiatan pecah rumah dengan tertangkapnya dua lelaki di Taman Segar, Cheras, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, tangkapan kedua-dua suspek berusia 24 tahun itu dibuat kira-kira-kira jam 3 petang oleh sepasukan anggota cegah jenayah Balai Polis Cheras ketika suspek sedang menaiki motosikal.

"Pemeriksaan badan telah menemui dadah disyaki jenis erimin 5 (0.6 gram). Turut ditemui beberapa peralatan dipercayai untuk aktiviti pecah rumah.

Antara barangan yang dirampas.
Antara barangan yang dirampas.

"Malah semakan nombor casis dan nombor enjin motosikal digunakan tidak dapat dibaca. Kita masih siasat sama ada itu adalah motosikal curi," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang didapati positif dadah ini telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan soal siasat telah membawa serbuan di rumah suspek.

Katanya, serbuan ini telah membawa rampasan tiga buah komputer riba, satu unit telefon bimbit dan satu unit televisyen.

"Kita telah buat semakan dan dapati salah seorang suspek mempunyai dua rekod dadah dan satu rekod jenayah samun bersenjata.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan masih dijalankan berhubung pembabitan suspek ini dalam kes pecah rumah. Suspek sedang direman enam hari sehingga Khamis ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.