X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysian Genomics mahu jadikan rawatan kanser lebih murah

Gambar hiasan 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysian Genomics Resource Centre Bhd telah menceburi sektor biofarmaseutikal dengan tujuan untuk meluaskan opsyen rawatan kanser di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Sasha Nordin berkata, di bawah kepelbagaian itu, syarikat tersebut turut menjadi pengedar eksklusif rawatan CAR T-Cell bagi negara-negara tertentu di Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia, Thailand, Vietnam, Kemboja dan Laos.

Produk ini, imunoterapi CAR T-Cell untuk kanser pepejal, adalah teknologi kesihatan canggih yang telah membuat kemajuan besar dalam penjagaan kesihatan terutamanya dalam kanser, punca kematian kedua tertinggi di seluruh dunia.

''Kami sedang berusaha merendahkan kos produk agar ianya lebih berpatutan untuk doktor dan pesakit di samping mempelbagaikan pendapatan kami daripada hanya membuat analisis genom, saringan genetik dan ujian,'' katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Sehubungan itu, syarikat berkenaan telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan, khususnya Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA).

''Kami bekerjasama dengan pakar onkologi dan hospital untuk membantu menyediakan protokol supaya mereka dapat bekerjasama dengan pesakit sebaik sahaja kami bersedia,'' katanya.

Katanya, sebagai rujukan, harga terapi CAR T-Cell untuk kanser cecair di Eropah dan Amerika Syarikat bermula daripada AS$400,000 (AS$1=RM4.05), ini adalah sangat mahal.

“Apa yang kami sedang usahakan, adalah untuk menjadikan produk CAR T-Cell tersedia bagi kanser pepejal pada harga yang lebih murah atau kira-kira 10 peratus daripada nilai itu.

“Satu-satunya cara yang boleh kami buat ialah bekerjasama rapat dengan rakan kongsi kami di China serta menubuhkan kemudahan pembuatan sel kita sendiri,'' katanya.

Makmal syarikat itu dijangka bersedia menjelang akhir suku pertama tahun depan dan sementara itu, mereka akan bekerjasama dengan prinsipal di China bagi menjadikan produk itu tersedia seawal bulan depan.

Mengenai bagaimana kepelbagaian itu akan memberi kesan terhadap prospek masa depan syarikat, Sasha berkata, segmen baharu itu akan membolehkan syarikat berkembang melangkaui analisis genom, saringan genetik dan ujian.

''Mandat yang kami peroleh daripada pemegang saham adalah untuk meningkatkan akses kepada produk dan teknologi penjagaan kesihatan yang baharu serta inovatif ini," katanya lagi.

Dari sudut kewangan, segmen itu akan menyumbang lebih daripada 25 peratus kepada pendapatan syarikat dan membolehkan syarikat untuk mengaut keuntungan pada tahun kewangan 2022.

''Kami melihat segmen perkhidmatan biopharma ini bakal menyumbang pendapatan bermula pada suku pertama tahun depan sebaik sahaja kemudahan makmal pembuatan sel ditauliahkan dan beroperasi.

''Imunoterapi CAR T-Cell mempunyai unjuran jualan global sebanyak AS$8.7 bilion menjelang 2025,'' katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!