Terjerat Macau Scam, kerani rugi lebih setengah juta ringgit

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

TAMPIN - Seorang kerani sebuah syarikat swasta di sini kerugian RM693,900 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menghubungi dan mendakwa wanita itu terlibat dalam pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, wanita berusia 59 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon daripada suspek yang tidak dikenali pada 27 Oktober lepas yang membaca nama dan nombor kad pengenalannya dengan tepat.

"Suspek memberitahu akan mengeluarkan waran tangkap ke atas mangsa kerana terlibat dalam pengubahan wang haram lalu menyambungkan panggilan itu kepada dua lelaki yang mengaku anggota polis dikenali sebagai Sarjan Tan dan Asisten Superintendan Yong.

"Semasa perbualan, kedua-dua suspek bertindak menakut-nakutkan mangsa dan meminta wanita itu membacakan nama pengguna dan kata laluan akaun Public Bank miliknya bagi tujuan mengeluarkan kesemua wang mangsa berjumlah RM363,900,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mereka juga meminta mangsa membayar wang jaminan berjumlah RM260,000 dan bayaran guaman sebanyak RM70,000.

Akibat takut dan panik, mangsa mengikut arahan itu dan bertindak memindahkan kesemua wang yang diminta ke dalam akaun Public Bank milik suspek selain turut diminta hadir ke Mahkamah Tampin, semalam untuk bicara kes, katanya.

Aibee berkata, selepas kejadian dihubungi itu, mangsa menerima transaksi pengeluaran wang setiap hari daripada akaun bank miliknya kepada beberapa akaun tidak diketahui serta dimaklumkan pindahan wang itu bagi tujuan audit dan akan dikembalikan semula.

Katanya, semalam, mangsa sekali lagi dihubungi lelaki yang menyamar sebagai polis dikenali sebagai Deputi Superintendan Chew dengan meminta wang jaminan tambahan sebanyak RM135,000 namun mangsa tidak dapat membuat bayaran berkenaan kerana kehabisan wang.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa yang menyedari diperdaya terus membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Susulan itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak mudah percaya jika menerima panggilan sedemikian,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Suri rumah lesap RM177,500 ditipu lelaki baru kenal di FB

Suri rumah rugi RM30,000 ditipu 'pegawai polis'

Pesara rugi RM124,000 diperdaya Macau Scam

Pesawah rugi RM30,000 ditipu 'pegawai LHDN'

Macau Scam: Pelaku mampu 'menghidu' duit mangsa

Macau Scam kaut RM750,000 sehari