Program Bekalan Air Pulau Pinang wajar disemak semula: LSANK

Noorulhuda Mohammed Ali
Noorulhuda Mohammed Ali
A
A
A

ALOR SETAR - Program Bekalan Air Pulau Pinang dan aspek penting berkaitan pengekalan sumber air wajar disemak dan dikaji semula.

Pengarah Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), Noorulhuda Mohammed Ali berkata, perjanjian bagi meluluskan program berkenaan dan pewartaan enakmen negeri yang meletakkan sempadan negeri di ‘garis pusat’ Sungai Muda bagi menjamin bekalan air telah berusia 35 tahun.

Menurutnya, walaupun pada ketika itu, tiada caj dinyatakan, namun jika merujuk kepada asas pertimbangan permintaan dan penawaran bekalan air ketika itu dan masa kini, ia wajar diberikan perhatian.

"Pada waktu itu LSANK belum wujud. Ia ditubuhkan selaras dengan kehendak Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 yang diluluskan di Parlimen sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap kawal selia dan kelestarian sumber air.

"Begitu juga, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang diwujudkan dengan kehendak akta tersebut," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Noorulhuda berkata, peluasan kawasan dan pembangunan menyebabkan keperluan dan permintaan bekalan air terawat meningkat mendadak, maka jaminan sumber air mentah perlu sentiasa mencukupi dan tersedia.

"Ia turut menyebabkan kos untuk mengekalkan sumber air mentah dipertingkatkan dan diberi perhatian serius, di mana agensi utiliti berkaitan air perlu menyokong tujuan tersebut melalui caj kos air mentah yang diabstrak dari sungai asal agar dapat menampung keperluan tersebut," katanya.

Menurutnya, pihaknya telah mengenakan caj pengabstrakan air mentah kepada Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd (Sada) bagi setiap meter padu untuk kegunaan pembekalan air terawat kepada rakyat di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang wajar menjelaskan caj sama atas pengabstrakan sumber air mentah yang berasal dari Kedah.

"Tujuannya bagi mengekalkan kawasan tadahan air sebagai kawasan tadahan termasuk kos penyenggaraan dan pemuliharaan sepanjang Sungai Muda yang berkeupayaan menjamin bekalan air mentah berterusan serta mencukupi bagi keperluan rakyat di Kedah," katanya.

Justeru, LSANK senada dengan hasrat Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang mahu menuntut caj air mentah dari Sungai Muda kepada Pulau Pinang.

"Walaupun Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyatakan air yang diabstrak adalah di Sungai Muda, meliputi bahagian negeri Pulau Pinang, namun kawasan tadahan Ulu Muda yang membekalkan sumber air mentah melalui Sungai Muda kepada negeri itu terletak di Kedah.

Selain itu, kos penyelenggaraan sepanjang sungai merentasi daerah di Kedah perlu diambil kira kerana kos ini ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Kedah," katanya.

Tambah Noorulhuda, pihak luar perlu menghormati dan tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman termasuk hak Kedah yang boleh dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat dan negeri.

"Ini termasuk wujudnya pelbagai galian berharga seperti Rare Earth Element (REE) yang ditemui di Ulu Muda yang disifatkan sebagai sumber mineral untuk menjana hasil baharu kepada kerajaan negeri," katanya.