X

Kindly register in order to view this article
!

Filem 'Babi': SKMM gesa Seniman tampil kemuka aduan

A
A

CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengemukakan aduan berkenaan filem kontroversi 'Babi' kepada suruhanjaya itu, bagi membolehkan penilaian dibuat terhadap kandungan yang diadukan.

SKMM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini menyatakan gesaan itu dibuat susulan laporan polis yang dibuat oleh Seniman Jumaat lepas terhadap siaran filem kontroversi arahan Wee Meng Chee atau Namewee.

"Proses penelitian terhadap kandungan yang diadu boleh dibuat berdasarkan kepada peruntukan-peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan selain AKM, penelitian lanjut juga boleh dibuat oleh agensi-agensi penguatkuasaan yang berkenaan mengikut peruntukan undang-undang lain yang terpakai berkaitan dengan kandungan atau penyiaran kandungan.

"Sekiranya hasil penelitian dan siasatan yang dijalankan mendapati terdapat unsur pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang sedia ada, maka tindakan penguatkuasaan boleh diambil oleh agensi yang berkenaan selaras kesalahan yang dilakukan mengikut undang-undang," menurut kenyataan itu lagi.

Pada 19 November lepas, SKMM telah berhubung dengan pihak YouTube berhubung trailer filem ‘Babi’ yang dimuat naik dalam saluran YouTube milik Namewee, namun masih menunggu maklum balas daripada pihak mereka yang berpangkalan di luar negara. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!