Liga Premier lebih kompetitif

Abu Bakar (kanan) sifatkan kehadiran Skuad Projek FAM-MSN bakal memberikan impak positif kepada saingan Liga Premier.
Abu Bakar (kanan) sifatkan kehadiran Skuad Projek FAM-MSN bakal memberikan impak positif kepada saingan Liga Premier.
A
A
A

PENYERTAAN skuad Projek FAM-MSN pada musim 2021 disambut baik beberapa pasukan Liga Premier yang berpandangan kehadiran mereka akan menjadikan aksi yang lebih kompetitif dalam saingan liga tersebut.

Dalam masa sama, peluang bermain di Liga Premier akan menjadi medan buat pemain-pemain dalam skuad projek itu bagi menyerlahkan potensi sekali gus membuka ruang kepada mereka untuk memikat mana-mana pasukan Liga Malaysia atau kelab luar negara pada masa depan.

Ketua Jurulatih Perak II, Abu Bakar Fadzim bersetuju dengan kemunculan pasukan mirip dengan skuad Harimau Muda pada satu ketika dahulu kerana saingan di Liga Premier mampu memberikan pendedahan berguna kepada pemain-pemain muda yang berusia 20 tahun ke bawah.

“Sebagai jurulatih yang banyak melatih bakat muda, saya rasa penyertaan Skuad Projek FAM-MSN ini tepat pada masanya bagi jangka masa panjang dan situasi ini juga baik kepada pasukan yang akan bersaing di Liga Premier pada musim depan.

“Pemain ini perlukan satu transisi dalam karier mereka semasa di peringkat remaja ke senior untuk mematangkan cara permainan dan peluang bermain di Liga Premier, boleh membuka ruang itu.

“Kehadiran skuad projek juga akan menyebabkan tambahan dua lagi perlawanan dan ini sesuatu yang baik kerana sebelum ini kita difahamkan hanya 10 pasukan sahaja di Liga Premier.

“Apa yang penting dengan aksi di Liga Premier, kita harap boleh membantu mereka sebagai satu pasukan sebagai persediaan kejohanan-kejohanan utama di luar negara terutama di Sukan SEA 2021,” katanya.

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) telah mengumumkan kerjasama untuk menubuhkan Skuad Projek FAM-MSN yang akan bersaing dalam Liga Premier bermula musim hadapan.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: FAM, MSN jalin kerjasama tubuh Skuad Projek FAM-MSN