Ambil kira kepentingan penduduk bumiputera

Cadangan membentuk gagasan besar membabitkan PN, BN serta GPS dilihat mengambil kira faktor perubahan politik negara yang memerlukan satu wadah lebih menyeluruh merentasi kepentingan bangsa dan agama.
Cadangan membentuk gagasan besar membabitkan PN, BN serta GPS dilihat mengambil kira faktor perubahan politik negara yang memerlukan satu wadah lebih menyeluruh merentasi kepentingan bangsa dan agama.
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan membentuk gagasan besar membabitkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat mengambil kira faktor perubahan politik negara yang memerlukan satu wadah lebih menyeluruh merentasi kepentingan bangsa dan agama.

Penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed bagaimanapun berkata, idea itu bukan sesuatu yang baharu memandangkan PN sendiri merupakan satu gagasan.

Menurutnya, beliau melihat cadangan pembentukan gagasan baharu itu lebih memberi penekanan terhadap kepentingan penduduk bumiputera di negara ini.

“Sebelum ini belum ada satu usaha atas dasar memastikan perjuangan untuk menjaga kebajikan penduduk bumiputera negara dilaksanakan kerana dalam landskap politik negara parti yang ada membawa perjuangan secara silo mentality atau ‘sendiri-sendiri’.

“Contohnya, Pas membawa perjuangan berlandaskan agama, UMNO pula kepada soal bangsa. Kita lihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula, oleh kerana perjuangan UMNO agak lari daripada apa yang mereka dokong sebelum ini, maka penubuhan parti itu atas dasar membawa semula perjuangan untuk menjaga kepentingan Melayu dan bumiputera,” katanya kepada Sinar Ahad di sini semalam.

Katanya, kerjasama UMNO, Pas dan Bersatu juga adalah rentetan daripada idea pembentukan gagasan baharu itu, cuma ia tidak mempunyai kerangka konsep yang jelas dalam mencorakkan apa bentuk perjuangan dan wadah yang hendak dibawa serta diperjuangkan dalam konteks lebih luas.

“Melalui gagasan baru ini saya lihat dengan mengambil kira GPS di Sarawak dan mungkin akan ada juga usaha-usaha untuk membawa bumiputera Sabah masuk ke dalam gagasan ini. Secara tidak langsung ia akan membawa gagasan yang memperjuangkan bumiputera dalam negara ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Marthada Mohamed
Ahmad Marthada Mohamed

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin kelmarin agar satu gagasan besar diwujudkan secara rasmi bagi melambangkan kesatuan tiga gabungan parti besar terbabit iaitu PN, BN dan GPS.

Ahmad Marthada berkata, dengan tercetusnya idea pembentukan gagasan besar itu juga menunjukkan bahawa parti-parti politik sudah mula memikirkan secara pragmatik bahawa ideologi yang mereka pegang ketika di awal penubuhan parti dahulu mungkin sudah tidak sesuai dengan perubahan pada masa kini.

“Contohnya UMNO sudah tidak lagi menekankan soal bangsa sahaja, Pas juga tidak fokus berkaitan agama semata dan Bersatu walaupun ada prinsip tapi sudah mula bergerak untuk bekerjasama dengan Pas serta gabungan Sarawak serta Sabah,” katanya.

Ahmad Marthada tidak menafikan penubuhan gagasan besar itu pasti mempunyai halangan kerana melihat kepada budaya UMNO yang masih menganggap parti itu sebagai parti yang dominan kerana memiliki banyak kerusi dan ingin terus memainkan peranan mereka sebagai big brother.

“Itu adalah satu satu cabaran besar dan bagi memastikan gagasan besar itu berjaya ditubuhkan, setiap parti perlu melakukan kompromi. UMNO tidak boleh lagi menganggap mereka sebagai parti yang ada suara lebih atau kuat berbanding parti lain.

“Parti-parti lain pula kena berkompromi dari segi mengambil kira kepentingan yang pelbagai kerana GPS bukan saja terdiri daripada bumiputera, bahkan mereka ada yang datang daripada pelbagai latar belakang, agama, adat resam dan kumpulan etnik,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Parti terkuat mesti pimpin tiga gabungan parti: Noh

Hamzah cadang gagasan besar tiga gabungan parti