Ekonomi dan Covid-19 bukan alasan

A
A
A

KALAU hari ini ekonomi kita dalam keadaan meleset dan penularan Covid-19 serius, ia bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kita.

Ekonomi kita dan dunia sudah pun dalam keadaan yang sukar sebelum wabak mula merebak di China pada penghujung tahun lalu.

Covid-19 sekadar memburukkan lagi kemerosotan itu sehingga mencapai tahap kemelesetan. Tahun ini kegiatan ekonomi negara-negara maju dijangka menguncup tujuh peratus, manakala Malaysia memasuki fasa kemelesetan dalam suku kedua tahun ini.

Yang membezakan kita daripada negara-negara lain adalah kita juga mengalami krisis politik. Kerajaan bertukar melalui rampasan kuasa politik. Jadi, rampasan kuasa yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) oleh Perikatan Nasional (PN) tiada kena mengena dengan menangani masalah ekonomi atau penularan Covid-19.

Ia berlaku kerana pihak bersekongkol yang melancarkannya mempunyai agenda politik untuk dilaksanakan. Secara ringkas, ia bermula apabila fiksyen Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Bersatu mengambil keputusan keluar PH.

Muhyiddin dan konconya mahu keluar PH kerana bimbang kerjasama dengan DAP akan menyebabkan Bersatu ditolak orang Melayu dan kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Muhyiddin sendiri bukanlah pemimpin yang berpengalaman menangani krisis, maka beliau gagal memperkenalkan program yang berkesan bagi merangsang semula ekonomi. Pada masa yang sama, beliau menjadi mangsa manipulasi UMNO dan Pas.

Beliau dilihat terlalu bertolak-ansur dengan parti-parti komponen PN, khususnya UMNO sehingga menganaktirikan partinya sendiri.

Artikel Berkaitan:

Konspirasi UMNO yang terbaharu adalah menyingkirkan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak dan mengambil jawatan itu.

Tawaran

Beberapa tindakan Tan Sri Idrus Azizan Harun, Peguam Negara lantikan Muhyiddin terhadap kes-kes besar di mahkamah juga dilihat sebagai berlembut-lembut dengan pemimpin BN yang sedang dibicarakan.

Malah, terdapat cakap-cakap yang beliau turut membuat tawaran tertentu dalam rundingan politik dengan pemimpin UMNO, khususnya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan usul percaya dan tidak percaya di Parlimen.

Maka, tidak hairanlah jika penarafan ekonomi dan kewangan Malaysia oleh agensi penarafan antarabangsa Fitch dan keyakinan pelabur merosot.

Reaksi terbuka dan keras Stephan Hagger, Pengarah Urusan Credit Suisse Malaysia adalah contoh ketidakpuasan pelabur asing dengan perkembangan yang sedang berlaku.

Beliau menulis: “Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Ku Nan (Tengku Adnan Tengku Mansor) telah bebas apabila Pendakwa Raya menggugurkan tuduhan ke atasnya.

“Kes ini nampak jelas dengan pemaju hartanah yang dituduh memberi rasuah kepada bekas menteri itu mengaku bersalah dan dihukum oleh mahkamah. Ini adalah kes ketiga sepertinya tahun ini, dengan anak tiri Najib (dalam kes 1MDB) dan bekas Ketua Menteri Sabah (Tan Sri Musa Aman) dibebaskan walaupun ternampak ada bukti yang cukup kuat.

“Adalah mustahil bagi membuktikan bahawa panggilan telefon telah dibuat (kepada pihak yang terlibat dengan kes-kes ini) tetapi bukanlah rahsia bahawa mana-mana pun kerajaan campuran yang rapuh akan terus membuat persetujuan belakang tabir untuk kekal berkuasa. Malangnya, negara yang menanggung bebannya seperti terjadi dengan penurunan penarafan oleh Fitch baru-baru ini."

Yang mendukacitakan adalah reaksi Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz apabila beliau tidak lebih daripada menyatakan kekesalan.

Apalah sangat yang boleh kita harapkan daripada menteri junior seperti beliau dan kerajaan yang kita sendiri tidak pasti keabsahannya seperti disebut oleh bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara