Jajaran politik baharu negara

A
A
A

TAHNIAH Datuk Saarani Mohamad yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-14 pada Khamis lalu. Krisis politik di Perak menunjukkan UMNO masih satu kuasa politik yang perlu dihormati.

Krisis itu memberi satu senario politik baharu apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melontarkan kebarangkalian satu jajaran baharu politik negara.

Ia adalah isyarat jelas kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa sebahagian dalam UMNO bersedia meneroka kemungkinan baharu jika keadaan tidak berubah.

Jajaran baharu politik itu dalam konteks politik Perak dan politik nasional pada minggu-minggu mendatang adalah refleksi kepada kesediaan UMNO bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP.

Kenyataan Ahmad Zahid dan sambutan positif pemimpin DAP terhadap lontaran itu menunjukkan manusia politik boleh berevolusi sesuai dengan kepentingan mereka dan kehendak massa.

Sambutan positif DAP menunjukkan segala tuduhan dan momokan bahawa UMNO parti anti-Cina, parti korupsi dan perosak negara adalah tidak benar dan sekadar hujahan politik memburukkan lawan.

Jika UMNO begitu buruk, mengapa DAP sanggup bekerjasama? UMNO juga jika serius mahu bekerjasama dengan DAP perlu menjawab kepada pengundi Melayu, apakah perubahan dalam DAP hari ini yang boleh merasionalkan usaha mengadakan kerjasama itu?

Ada pandangan jajaran baharu UMNO-DAP lebih relevan kerana kedua-dua parti tidak berebut kawasan dan pengundi yang sama. UMNO boleh kembali menjadi dominan dengan cepat melalui kerjasama itu.

Artikel Berkaitan:

Namun hujahan itu hanya relevan jika kedua-dua parti mempunyai jumlah penyokong tegar yang mewakili 45 hingga 55 peratus jumlah pengundi.

Malangnya politik Malaysia tidak bersifat demikian.Kebanyakan pengundi UMNO merupakan kumpulan orang Melayu yang percaya DAP adalah ancaman kepada hak keistimewaan masyarakat Melayu dan bumiputera, kedudukan Raja-raja Melayu, agama Islam dan bahasa Melayu.

Sebaik sahaja kerjasama UMNO-DAP dimeterai, sebahagian kumpulan pengundi Melayu dan Islam akan berpindah kepada parti lain yang dilihat lebih mewakili kepentingan mereka.

DAP juga akan berhadapan masalah sama. Majoriti pengundi Cina mengundi DAP bukan kerana mereka benci MCA, namun lebih kepada marahkan UMNO.

Mereka boleh berubah. Pada PRU 1999, ramai tokoh kanan DAP tumpas apabila parti itu mengadakan kerjasama dengan Pas yang dilihat ancaman kepada masyarakat Cina.

Pada PRU 2004, pengundi Cina memberi sokongan kepada BN apabila UMNO melakukan perubahan kepimpinan. Pada tahun 2008, mereka kembali mengundi DAP dan PKR apabila mereka hilang kepercayaan kepada kepimpinan negara di bawah BN.

Justeru, kerjasama dengan DAP tidak akan menjamin kerusi yang banyak kerana sokongan pengundi Cina kepada DAP lebih bercorak sentimen kepada kepimpinan Melayu dan apa yang mereka percaya usaha menentang korupsi UMNO.

Tidak mustahil Bersatu juga sedang berharap perkara yang sama (kerjasama UMNO-DAP) berlaku supaya mereka dapat mengambil alih peranan UMNO sebagai penjaga kepentingan agama, bangsa dan negara daripada perspektif masyarakat bumiputera.

Walaupun jajaran baharu politik tersebut tidak akan membolehkan BN menang PRU, namun ia cukup untuk memastikan Bersatu juga tidak lagi mempunyai kuasa pada penggal akan datang.

Realitinya, pertentangan BN-PN atau UMNO-Bersatu seperti peribahasa Melayu, 'yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu’.

Usaha menguruskan kekuatan politik Melayu adalah tanggungjawab Muhyiddin. Orang Melayu di bawah tidak tahu apa yang berlaku di koridor kuasa pemimpin Melayu.

Seperti saranan saya minggu lalu, jika Muhyiddin tidak berminat mengukuhkan kerjasama politik itu, lebih baik beliau mencari pengganti yang ada pengaruh dan kesungguhan untuk memulihkan keadaan.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)