Tak masuk akal tolak belanjawan

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

WALAUPUN Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada 6 November lalu telah diluluskan pada peringkat dasar dan jawatankuasa, namun masih ada yang bimbang ia akan ditolak pada bacaan ketiga minggu depan.

Ia susulan beberapa ahli Parlimen Perikatan Nasional yang mungkin menolaknya gara-gara isu moratorium dan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bagaimanapun, dalam wawancara bersama Sinar Ahad minggu ini, Tengku Zafrul menegaskan KWSP dan moratorium bukanlah isu bajet memandangkan kedua-dua isu itu masih boleh ditambah baik meskipun Belanjawan 2021 telah lulus sepenuhnya nanti.

Dalam wawacara kali ini, Tengku Zafrul turut mengulas mengenai persepsi sesetengah pihak yang cuba melabelkan dirinya sebagai pro-bank atau lebih berpihak kepada bank selain menceritakan pengalamannya selama lebih sembilan bulan menjadi Menteri Kewangan.

SINAR AHAD: Setelah lebih sembilan bulan berada di kerusi Menteri Kewangan, apakah perkara yang boleh Datuk Seri kongsikan? Ramai rakyat di luar sana yang mula-mula skeptik kerana latar belakang korporat Datuk Seri. Malah, ada juga yang risau Datuk Seri lebih menjaga kepentingan bank dan pihak swasta. Apa komen Datuk Seri?

TENGKU ZAFRUL: Saya ada baca komen rakyat kata saya jaga bank lebih daripada saya jaga rakyat. #MenteriJagaBank, #BankerJagaBanker dan sebagainya. Saya baca semua teguran khasnya di FB dan Twitter. Kadang-kadang adalah saya terasa hati sedikit.

Saya pun manusia juga. Lebih-lebih lagi bila dilemparkan anggapan begitu sedangkan setiap hari saya dan pasukan MOF bekerja bersungguh-sungguh untuk cari penyelesaian bagi isu ekonomi rakyat.

Saya tahu ada pihak yang cuba melabelkan saya pro-bank atau lebih berpihak kepada bank. Sebaliknya pula, kawan-kawan lama saya di sektor swasta menganggap saya sekarang semakin antimarket (antipasaran) kerana lebihkan pendekatan berkebajikan.

Artikel Berkaitan:

Dalam isu moratorium contohnya, ramai rakan saya di sektor perbankan yang mengkritik saya terlalu ‘cenderung’ mahu memuaskan hati rakyat. Mereka kata saya sebagai bekas banker sepatutnya lebih faham pentingnya untuk kurang campur tangan dalam kuasa pasaran bebas.

Seperti yang kita tahu, Malaysia adalah antara negara pertama yang kerajaannya menyatakan pandangan dengan aktif dalam isu moratorium yang sebenarnya kuasa mutlak pihak bank.

Namun bagi saya, bila rakyat ingat saya pro-bank dan bank pula ingat saya pro-rakyat, mungkin itu petanda baik bahawa kerajaan telah memainkan tanggungjawab mencari keseimbangan antara matlamat kebajikan rakyat dan memelihara pasaran bebas.

Saya faham rakyat sedang menghadapi cabaran menyara kehidupan dalam suasana semasa ini. Menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat, maka kita perlu teruskan usaha memulihkan ekonomi untuk kebaikan semua.

Adakah Datuk Seri telah lama memasang cita-cita untuk memegang jawatan menteri?

Sepanjang hidup saya, tak pernah terlintas dalam hati untuk terlibat dalam politik atau kerajaan. Itu sebabnya bila ditawarkan jadi Menteri Kewangan, saya memang tidak langsung jangkakan dan sudah tentu pada mulanya saya cenderung untuk menolak. Saya sedar ramai lagi ahli Parlimen yang lebih inginkan jawatan tersebut.

Perdana Menteri terangkan kepada saya – dalam keadaan ekonomi mencabar akibat Covid-19 ini, beliau perlukan Menteri Kewangan yang tidak terbeban dengan tugasan politik sebaliknya lebih fokus kepada mencari penyelesaian kepada keperluan ekonomi negara dan ekonomi poket rakyat.

Dalam keadaan politik yang masih bergolak, Tan Sri rasakan sesuai untuk jawatan Menteri Kewangan dilaksanakan oleh seorang yang di luar dunia politik.

Bila Tan Sri dah cakap macam itu, saya rasa selfish jika saya tolak tanggungjawab ini. Saya diberi peluang untuk gunakan pengalaman di sektor swasta untuk bantu rakyat dan ekonomi negara.

Saya juga membesar dalam keluarga penjawat awam: moyang saya dahulu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, datuk saya pula pernah menjadi Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan dan ibu saya sendiri berkhidmat dalam kerajaan sehingga bersara sebagai Ketua Pengarah EPU. Justeru, saya tidak pernah rasa asing daripada naluri untuk berkhidmat dalam sektor awam, maka mengambil kira segalanya, akhirnya saya terima jawatan ini.

Saya memasuki Kementerian Kewangan pada waktu Covid-19 mula menggugat kesihatan awam bersekali kewangan rakyat dan ini masih merupakan cabaran besar yang negara sedang tangani.

Jujur saya katakan yang saya hanya ingin memainkan peranan sebagai rakyat Malaysia dan setelah itu, saya tinggalkan kepada pewaris yang sudah tentu lebih baik.

Boleh dikatakan, isu paling hangat tentang Belanjawan 2021 adalah isu KWSP. Rata-rata rakyat Malaysia yang bersuara tentang isu ini mahukan pengeluaran automatik tanpa syarat. Kenapa isu ini cukup sukar untuk diselesaikan pihak kerajaan?

Ya saya sedar, isu KWSP ini adalah isu yang sangat hangat. Sebelum saya jawab lanjut, kita kena ingat ini pertama kali pengeluaran sebegini dibenarkan dalam sejarah negara.

Walaupun negara sudah banyak kali mengalami kegawatan ekonomi, KWSP tidak pernah membenarkan pengeluaran sebegini besar. Kita perlu akui, apa yang KWSP telah lakukan setakat ini adalah sangat luar biasa dalam sejarah institusi tersebut.

Seperti yang saya sebutkan semasa penggulungan perbahasan Belanjawan 2021, isu ini adalah tentang mencari titik keseimbangan antara dua perspektif yang jauh berbeza.

Perspektif pertama adalah daripada mereka yang ingin pengeluaran maksimum besar-besaran. Perspektif kedua pula datang daripada pengurusan dan Lembaga Pengarah KWSP kerana tanggungjawab utama mereka adalah untuk menjaga wang persaraan rakyat Malaysia.

Tetapi kerajaan juga sedar ini waktu luar biasa. Sebab itulah, pada bulan Mac, KWSP memperkenalkan i-Lestari, di mana 4.7 juta pencarum dibenarkan mengeluarkan RM500 sebulan daripada Akaun 2 untuk tempoh setahun. Ini juga sebenarnya pertama kali Akaun 2 dibenarkan untuk dikeluarkan demi menghadapi kegawatan ekonomi.

Kemudian, i-Sinar pula diperkenalkan bagi membolehkan pengeluaran Akaun 1. Dalam beberapa minggu ini sahaja, pengeluaran Akaun 1 telah diperluaskan daripada hanya 600,000 ahli KWSP, kepada 2.4 juta ahli dan kemudiannya kepada sekitar lapan juta pencarum.

Had pengeluaran juga telah ditingkatkan, daripada hanya RM6,000 dalam tempoh 12 bulan, kepada RM9,000 dan kemudiannya RM10,000 dalam tempoh hanya enam bulan (bagi akaun dengan baki di bawah RM100,000).

Bagi saya, kita seharusnya berikan ruang untuk KWSP selesaikan urusan pengeluaran bagi kelompok lapan juta ahli ini dahulu. Itu bermakna bukan sahaja kebajikan lapan juta pencarum, malah ahli-ahli keluarga mereka juga akan menerima manfaat. KWSP telah memberi jaminan bahawa mereka akan berusaha sebaik mungkin untuk memudahkan kelulusan pengeluaran.

Tengku Zafrul ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat pada Khamis lalu. - Foto Bernama
Tengku Zafrul ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat pada Khamis lalu. - Foto Bernama

Walaupun jelas pengeluaran maksimum ini ada baik dan buruknya, ada juga yang berkata isu KWSP ini telah dipolitikkan oleh sesetengah pihak bagi mengejar populariti. Apa pendapat Datuk Seri?

Kita sedar perkara tersebut, tetapi pokok pangkalnya, ada beberapa segmen rakyat yang betul-betul terkesan dan ingin menggunakan wang KWSP mereka sama ada untuk survival hidup atau menjana pendapatan baharu.

Bila i-Sinar ditambah baik sampai tiga kali, pada saya ini menunjukkan KWSP benar-benar cuba memenuhi tuntutan ahli dan berusaha mencari keseimbangan antara ahli yang mahu keluarkan dan juga ahli yang tidak setuju pengeluaran dibuat secara besar-besaran hingga menjejaskan pendapatan simpanan persaraan mereka.

Walau apa pun, KWSP telah menambah baik i-Sinar. Tetapi seperti yang saya kata tadi, marilah kita berikan KWSP ruang masa untuk menyelesaikan dahulu pengeluaran untuk lapan juta ahli yang layak ini. Juga untuk mereka di luar skop lapan juta ahli ini, pintu rayuan masih dibuka. Saya galakkan sesiapa yang memerlukan buatlah rayuan, supaya KWSP mengetahui masalah mereka.

Nukilan MK atau Menteri Kewangan yang dimuat naik ke Facebook Datuk Seri juga dilihat semakin popular. Mungkin kerana bahasanya yang mudah. Ramai juga yang ingat bila Datuk Seri tulis Nukilan MK tentang Fitch tempoh hari, Datuk Seri sudah hilang sabar dengan kritikan politik yang tidak henti-henti. Adakah benar perkara itu?

Bila saya tulis kenyataan itu, ramai yang ingat saya marah sebab pertama kali mereka lihat saya keluarkan kenyataan yang agak tegas. Cuma saya ikhlas nak tahu, apa sebenarnya yang mereka mahukan tentang isu Fitch ini. Sukar untuk saya dan rakan-rakan di Kementerian Kewangan nak fahami kehendak mereka jika kenyataan mereka bercanggah.

Sekejap suruh kerajaan berbelanja besar untuk rakyat dan abaikan rating (penarafan), tetapi bila rating turun, mereka hentam saya pula. Bila jadi macam tu, saya keluarkanlah kenyataan tanya apa sebenarnya yang mereka nak tentang rating ini.

Saya faham mungkin mereka nak berpolitik. Saya pun sedar, mana-mana kerajaan pun mesti ada politik. Tetapi bila berpolitik keterlaluan, perlulah saya jawab dengan tegas sedikit.

Kita kena faham. Keadaan sewaktu tiada Covid-19 dan bila ada Covid-19 ini sangat berbeza. Cabaran ekonomi bertambah-tambah tanpa had tetapi masa kita terhad kepada 24 jam sehari.

Maka kalau boleh, saya mahu gunakan masa yang terhad ini untuk mengatasi cabaran-cabaran ini baik isu pekerjaan, peniaga kecil, golongan rentan, isu keyakinan pelabur, isu perbelanjaan kerajaan dan sebagainya, bukan untuk layan kerenah politik keterlaluan.

Setiap masa dan tenaga yang saya terpaksa gunakan untuk layan kerenah politik ini sepatutnya boleh saya gunakan untuk selesaikan isu-isu ekonomi rakyat semasa Covid-19 ini.

Jika semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional menyokong Belanjawan ini, ia dijangka diluluskan semasa bacaan ketiga pada minggu depan. Buat masa ini pun, Belanjawan ini telah diluluskan untuk setiap jawatankuasa baik dari melalui undi suara atau undi belah bahagi. Namun masih ada yang risau kerana takut ada ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional yang mungkin menolak Belanjawan ini kerana isu KWSP dan moratorium. Apa pandangan Datuk Seri tentang perkara ini?

Kita perlu ingat, KWSP dan moratorium in bukan isu Belanjawan. Jika Belanjawan lulus sekali pun, kita masih boleh terus tambah baik isu KWSP dan moratorium.

Selama ini pun kita dah beberapa kali tambah baik pelbagai inisiatif rakyat termasuk kedua-dua isu ini tanpa melibatkan proses di Parlimen. Prestasi kerajaan PN dalam melindungi dan membela rakyat tidak boleh dinafikan.

Selain isu ini, banyak lagi perkara lain yang ada dalam Belanjawan. Terlalu banyak untuk saya sebutkan tetapi kesimpulannya, semua segmen akan dibantu. Strategi kerajaan melalui Belanjawan 2021 ini jelas.

Pertama, kita bantu rakyat untuk survival mereka dengan bantuan kewangan untuk diri dan keluarga. Kedua, kita sediakan peluang untuk mereka jana pendapatan mereka dengan projek pembangunan, peluang pekerjaan, peluang latihan dan bantuan untuk usahawan serta peniaga. Ketiga, kita membolehkan mereka membina daya tahan untuk masa depan.

Jadi bagi saya, jika Belanjawan ini ditolak hanya kerana dua perkara iaitu KWSP dan moratorium, tidak masuk akal. Yang susah nanti rakyat. Rata-rata rakyat memerlukan bantuan dan peluang dalam belanjawan ini secepat mungkin kerana tahun 2020 terlalu mencabar.

ANEKDOT

3 perkara tidak boleh dilupakan selama 9 bulan jadi Menteri Kewangan

Tiga sahaja? (ketawa) Kalau nak ikutkan, sepanjang tahun mencabar ini, banyak milestones (pencapaian) yang telah dicapai Kementerian Kewangan. Tetapi, kalau nak dihadkan kepada tiga yang saya fikir paling bermakna, pertama, penggubalan dan pelaksanaan empat pakej rangsangan ekonomi iaitu Prihatin, Prihatin PKS Tambahan, Penjana dan Kita Prihatin yang kesemuanya bernilai RM305 bilion.

Keempat-empat pakej ini adalah seperti belanjawan kecil atau bajet mini dan telah memerlukan keringat dan kreativiti untuk mencari dana dan menggubal langkah-langkah yang sesuai untuk pemulihan ekonomi

Saya amat menghargai usaha warga MOF yang bersengkang mata, bertungkus lumus bukan sehari atau seminggu dua, malah sepanjang tahun untuk menyediakan pakej-pakej ini demi kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan. Tambahan pula, semasa penyediaan pakej Penjana dan Kita Prihatin, mereka juga serentak membuat persiapan Belanjawan 2021.

Kedua, apabila RUU Covid telah diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat pada bulan Ogos lalu – ini jelas menunjukkan bahawa ahli-ahli Yang Berhormat mampu mengetepikan ideologi politik masing-masing untuk bersatu hati mengundi Rang Undang-Undang tersebut.

Ini juga penting kerana mengembalikan keyakinan rakyat kepada proses politik negara dan kepimpinan wakil rakyat yang dipilih. Sebenarnya, saya berharap semangat ini akan bangkit dalam RUU untuk menambah peruntukan Kumpulan Wang Covid-19 sebanyak RM20 bilion yang akan dibentangkan dalam sesi ini nanti

Ketiga, pembentangan Belanjawan 2021 di Parlimen, dan apabila ia diterima oleh Dewan Rakyat di peringkat dasar pada 23 November.

Alhamdulillah, warga MOF amat bersyukur kerana ini bermakna bantuan untuk rakyat dan perniagaan tidak lama lagi boleh disalurkan berdasarkan perancangan kerajaan, terutamanya kepada petugas barisan hadapan dalam perkhidmatan kesihatan dan ketenteraman awam.

Langkah-langkah Belanjawan 2021 ini juga amat penting untuk membawa ekonomi kita kembali ke landasan pemulihan pada tahun hadapan, InsyaALLAH.

PROFIL

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Jawatan sekarang: Menteri Kewangan

Umur: 47 tahun

Pendidikan: Ijazah Sains (Kepujian) Ekonomi dan Perakaunan daripada Universiti Bristol, United Kingdom (UK), dan Ijazah Sarjana Sastera (MA) dalam bidang Kewangan dan Pengurusan daripada University of Exeter, UK.

Asal: Kuala Lumpur

Pencapaian:

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Berhad dan Maybank Kim Eng Holdings

Menubuhkan Tune Money Sdn Bhd