Siasatan dalaman terhadap kontraktor, pekerja terlibat

Laporan Sinar Harian mengenai insiden dua buah kenderaan rosak akibat tumpahan air simen dari kerja konkrit struktur binaan lebuh raya di Persiaran Alam Damai, Cheras.
Laporan Sinar Harian mengenai insiden dua buah kenderaan rosak akibat tumpahan air simen dari kerja konkrit struktur binaan lebuh raya di Persiaran Alam Damai, Cheras.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemaju projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) memandang serius kejadian melibatkan dua buah kenderaan rosak akibat tumpahan air simen dari kerja konkrit struktur binaan lebuh raya di Persiaran Alam Damai, Cheras pada Rabu lalu.

Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd (Prolintas) menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa siasatan dalaman terhadap kontraktor dan pekerja terlibat telah dijalankan.

"Arahan telah dikeluarkan melibatkan pemberhentian semua kerja-kerja konkrit pada hari kejadian dan mengkaji semula prosedur keselamatan.

"Langkah keselamatan tambahan juga telah diambil dengan serta merta," katanya.

Untuk rekod, katanya, kontraktor bagi pakej berkenaan telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

"Selain itu, SUKE telah berhubung dengan pemilik kenderaan terlibat dan persetujuan berkaitan telah dicapai.

"SUKE akan memastikan segala aspek keselamatan sentiasa diutamakan dan dipertingkatkan dari masa ke semasa demi kesejahteraan semua pihak dan segala kesulitan yang timbul dari insiden ini amatlah dikesali," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Bumbung kenderaan rosak terkena tumpahan simen

Rabu lalu, dua buah kenderaan rosak akibat terkena tumpahan simen ketika melalui kawasan pembinaan SUKE di Persiaran Alam Damai, Cheras di sini.

Artikel Berkaitan:

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, bumbung sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dan Toyota Rush rosak akibat insiden tersebut.