Saarani nafi UMNO ada tawar jawatan Exco kepada Amanah, PKR

Saarani (depan) hadir pada Majlis Kesyukuran Menteri Besar Perak dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli di Dewan Komuniti Kemas Lenggong hari ini.
Saarani (depan) hadir pada Majlis Kesyukuran Menteri Besar Perak dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli di Dewan Komuniti Kemas Lenggong hari ini.
A
A
A

LENGGONG - Tiada sebarang tawaran jawatan Exco dijanjikan kepada Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi tujuan membentuk kerajaan baharu di Perak seperti yang didakwa DAP.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pendirian UMNO ketika itu terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan semua parti bagi membentuk persefahaman menubuhkan kerajaan.

"Tidak ada apa-apa tawaran atau janji. Semua parti datang berbincang tanpa sekatan kerana ketika itu penting untuk kita mengelak berlakunya kerajaan tergantung.

"Jadi perkara itu (jawatan Exco) bukanlah satu imbuhan atau umpan, sesiapa pun yang dapat bentuk kerajaan sudah tentu parti itu ada hak berada dalam barisan Exco," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Kesyukuran Menteri Besar Perak dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli di Dewan Komuniti Kemas Lenggong di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: DAP dakwa UMNO tawar jawatan Exco kepada Amanah, PKR

Baki lima Exco Perak terserah perkenan Sultan Nazrin: Saarani

Beliau bagaimanapun tidak menyalahkan kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berhubung perkara itu kerana menyifatkan kerjasama Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) hampir mungkin berlaku.

"Apabila sudah membentuk kerajaan, barulah tawaran boleh dibuat. Katakanlah BN dapat bentuk kerajaan dengan sokongan PH, sudah tentulah saya kena tawarkan jawatan Exco kepada gabungan parti-parti itu.

"Tetapi sekarang BN membentuk kerajaan bersama Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), jadi tak adalah timbul tawaran itu," katanya.

Sementara itu, Saarani yang juga Pengerusi UMNO negeri berkata, pihaknya buat masa ini tidak bercadang untuk membuka siasatan berhubung salah atau penyelewengan dilakukan pentadbiran terdahulu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jika terdapat sebarang kesalahan termasuk dirinya yang merupakan Exco kanan sebelum ini, ia perlu diserahkan kepada pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya tidak mahu memulakan tugas saya dengan melukakan hati sesiapa, saya bersangka baik.

"Saya mahu tumpukan perhatian kepada usaha membangunkan negeri. Kalau dicampur aduk dengan perkara lain ia akan menjejaskan fokus saya," katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan DAP mendedahkan UMNO menawarkan jawatan Exco Kerajaan Negeri kepada Amanah dan PKR sekiranya dua parti tersebut sedia membentuk kerajaan bersama selepas Bersatu dan Pas tidak memberikan sebarang kata putus.