Awasi unsur pornografi dalam animasi, kartun

Kewujudan unsur pornografi dalam aplikasi media sosial secara tidak langsung akan meruntuhkan akhlak dan budaya, bahkan mengundang ke arah peningkatan jenayah seksual. Gambar kecil: Nuridah Mohd Salleh
Kewujudan unsur pornografi dalam aplikasi media sosial secara tidak langsung akan meruntuhkan akhlak dan budaya, bahkan mengundang ke arah peningkatan jenayah seksual. Gambar kecil: Nuridah Mohd Salleh
A
A
A

SHAH ALAM - Segelintir ibu bapa mungkin tidak menyedari bahawa sesetengah animasi ataupun kartun yang ditonton oleh anak mereka menerusi YouTube sebenarnya mengandungi adegan pornografi ringan atau soft pornography.

Ketua Muslimat Pas Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, adegan berkenaan merangkumi babak seperti mencium atau sebagainya sehingga menyebabkan anak-anak ingin mencuba dan merasainya sendiri.

“Ketagihan akan menjadi bertambah buruk apabila mereka menjadikan pornografi sebagai medium mencari keseronokan terutama apabila berasa murung.

“Malah, kecenderungan individu menonton pornografi merangsang mereka untuk menjadi pemangsa dalam kes jenayah seksual,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad semalam.

Jika dulu televisyen menjadi sumber utama, diikuti lambakan cakera padat (CD) lucah, kini akses melalui talian internet dan telefon pintar menjadi sumber sukar dikawal.

Beliau berkata, segelintir masyarakat sering kali menyalahgunakan aplikasi media sosial yang memaparkan unsur pornografi ringan sehingga mengundang kesan negatif kepada semua peringkat umur sama ada orang dewasa, remaja mahupun kanak-kanak.

Nuridah yang juga Ketua Muslimat Pas Wilayah Persekutuan berkata, kewujudan unsur berkenaan secara tidak langsung akan meruntuhkan akhlak dan budaya, bahkan mengundang ke arah peningkatan jenayah seksual.

Katanya, pornografi ringan juga boleh mendorong ke arah seks bebas dan ia dilarang sama sekali dalam Islam.

Artikel Berkaitan:

“ALLAH berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 32 yang membawa maksud: ‘Jangan dekati zina kerana zina itu perbuatan yang buruk lagi hina’.

“Merujuk ayat ini juga ia adalah haram kerana wujudnya satu penyimpangan tidak baik dari sudut integriti masyarakat madani. Malah, melanggar hak asasi masyarakat dan hak pegangan agama,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pihak berwajib perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi menghalang perkara tersebut daripada terus berlarutan.

“Ibu bapa juga perlulah mengawasi segala tingkah laku anak-anak dengan memantau penggunaan telefon bimbit dari semasa ke semasa, jangan sesekali abaikan tanggungjawab.

“Dari segi pendidikan pula, ia perlu diterapkan di sekolah seperti mewujudkan subjek yang mampu meningkatkan lagi tingkah laku akhlak dan juga moral pelajar.

“Kempen kesedaran secara berterusan perlulah diwujudkan bagi membendung kes jenayah seksual ini daripada terus berleluasa dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya umat Islam,” katanya.