X

Kindly register in order to view this article
!

Benarkan ahli perniagaan dari lapan negara masuk Malaysia

Datuk Seri Najib Tun Razak
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk memberi kelonggaran kepada ahli perniagaan dari lapan negara yang dikenal pasti sudah tidak mempunyai kes penularan Covid-19 untuk masuk ke negara ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kelonggaran itu diberikan kepada ahli perniagaan yang sudah ditapis kerajaan atau sudah diberi vaksin.

Beliau berkata, lapan negara tersebut ialah Singapura, Taiwan, Brunei, Australia, New Zealand dan Thailand yang dilaporkan tiada penularan tempatan, sementara Vietnam dan China hanya mempunyai enam kes penularan tempatan semalam.

Menurutnya, sekiranya ahli perniagaan luar negara masih tidak dibenar datang ke Malaysia, mereka tidak akan melabur atau berniaga di negara ini.

"Jika tiada pelaburan asing dan peluang baharu perdagangan antarabangsa terputus, maka ini akan memberi impak negatif kepada pertumbuhan ekonomi dan jumlah pekerjaan baharu di Malaysia pada tahun-tahun mendatang.

"Negara jiran Singapura faham kepentingan ini dan telah membenarkan pelawat dari negara Taiwan, Brunei, Australia, New Zealand, China dan Vietnam meminta pas khas untuk masuk ke negara mereka tanpa kuarantin," katanya.

Beliau berkata, pelawat dari negara luar ke Singapura cuma perlu memuat turun aplikasi seperti MySejahtera serta menjalani ujian Covid-19 sebelum bertolak.

"Pada masa yang sama, beberapa negara juga sudah mula memberi vaksin kepada warga mereka.

"Jadi saya menyeru sekali lagi kepada kerajaan untuk memberi kelonggaran yang sama kepada ahli perniagaan yang sudah ditapis kerajaan atau sudah diberi vaksin dari negara-negara tersebut," katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Najib berkata, pelawat negara berkenaan sebenarnya lebih takut untuk datang ke Malaysia berbanding kebimbangan kerajaan bahawa mereka akan membawa virus masuk ke dalam negara.

Sehubungan itu, katanya, mereka mungkin diperlukan untuk menjalani kuarantin setelah mereka pulang ke negara masing-masing, bagaimanapun sekurang-kurangnya mereka tidak perlu menjalani dua kali kuarantin jika Malaysia tidak lagi meminta mereka menjalani kuarantin mandatori 14 hari di sini.

"Logiknya begini, negara kita sudah longgarkan segala larangan rentas negeri ketika beberapa negeri masih mencatat ratusan kes baharu setiap hari. Jadi, kenapa kita masih mahu sekat ahli perniagaan atau pelawat (termasuk mereka yang telah diberi vaksin) dari negara yang tidak mencatat sebarang kes penularan tempatan?" katanya.

INFO:

Lapan negara tiada kes penularan tempatan atau bilangan kes rendah:

1. Singapura - Tiada kes penularan tempatan semalam

2. China - 6 kes penularan tempatan

3. Taiwan - Tiada kes penularan tempatan sejak 200 hari lalu

4. Brunei - Tiada kes penularan tempatan semalam

5. Australia - Tiada penularan tempatan

6. New Zealand - Tiada penularan tempatan

7. Vietnam - 6 kes penularan tempatan

8. Thailand - Tiada penularan tempatan


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!