X

Kindly register in order to view this article
!

Anwar dikhabarkan akan menghadap Agong, kemuka bukti 113 sokongan

Datuk Seri Anwar Ibrahim
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dikhabarkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi untuk mengemukakan bukti bahawa beliau kini mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi dari kalangan ahli Dewan Rakyat.

Menurut laporan Astro Awani, Ahli Parlimen Port Dickson itu dikatakan sudah mempunyai 113 sokongan dalam bentuk akuan bersumpah (SD).

Perkembangan terbaharu itu juga menyaksikan Anwar yang juga Ketua Pembangkang sekali lagi mempunyai peluang untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sumber dalaman PKR turut memberitahu, dengan adanya jumlah sokongan itu, Anwar dikatakan dalam proses memohon perkenan menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara.

"Bagaimanapun ia tertakluk kepada jadual Tuanku Baginda,” kata sumber itu.

Sementara itu, seorang pegawai menteri memberitahu, usaha terbaharu Anwar itu bukan sekadar khabar angin.

“Dengarnya usul itu akan cuba digerakkan sebelum Dewan Rakyat tamat pada Khamis depan (17 Disember 2020).

“Berkemungkinan Anwar akan umum perkara ini esok atau lusa. Tetapi kami dengar ia akan berlaku sewaktu '3rd reading Budget' (Bacaan Kali Ketiga Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021), hari Selasa. Heard this time with SDs (kali ini dengan SD),” katanya ketika dihubungi Astro Awani.

Pada September lalu, Anwar mendakwa dirinya sudah mempunyai jumlah sokongan yang disifatkan 'kukuh dan meyakinkan' untuk menjadi Perdana Menteri baharu.

Justeru, pada 13 Oktober lalu, Anwar diperkenan untuk menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara dan telah mempersembahkan dokumen yang didakwa mengandungi butiran sokongan majoriti ahli Parlimen yang diperlukan.

Bagaimanapun, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan sebaik selesai sesi menghadap itu berkata, Anwar tidak mempersembahkan senarai nama ahli-ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau.

“Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk akur dan menghormati proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!