X

Kindly register in order to view this article
!

Kakitangan MPJL maut, lori rempuh lima kereta

Kereta Perodua Kancil dipandu Normaheiran (gambar kecil) yang remuk dirempuh lori dalam kemalangan di Kilometer 15 Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, Jempol hari ini.
A
A

JEMPOL - Seorang kakitangan Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 15 Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang hari ini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.50 tengah hari membabitkan sebuah lori kargo tanpa muatan dan lima buah kereta.

Menurutnya, kemalangan berlaku di persimpangan lampu isyarat berhampiran pekan Batu Kikir di sini mengakibatkan mangsa, Normaheiran Mohamad, 47, yang memandu kereta jenis Perodua Kancil maut.

"Kemalangan berlaku apabila lori yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun dari arah Simpang Pertang menghala Kuala Pilah dipercayai hilang kawalan apabila lampu isyarat bertukar merah.

"Berikutan itu, lori tersebut merempuh belakang lima buah kereta yang berada di hadapannya menyebabkan mangsa yang memandu salah sebuah kereta terlibat meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit.

"Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan kepala," katanya di sini hari ini.

Gambar kenangan Normaheiran (kanan) bersama kakitangan MPJL.
Gambar kenangan Normaheiran (kanan) bersama kakitangan MPJL.

Beliau berkata, seorang pemandu kereta berusia 56 tahun turut mengalami kecederaan patah kaki dan tangan, manakala tiga lagi pemandu kereta lain berusia lingkungan 20 hingga 40 an tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya, pemandu lori berkenaan ditahan untuk siasatan dan saringan air kencing mendapati dia positif methamphetamine.

"Siasatan juga mendapati lori kargo lapan tan sebelum itu turut terbabit kemalangan di Kilometer 28 Jalan Bahau-Keratong, kira-kira jam 9 pagi tadi.

"Kes seterusnya disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan mangsa bekerja sebagai pemandu lori MDJL dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu Kikir selepas selesai bekerja di MPJL, Bandar Seri Jempol.

Yang Dipertua MPJL, Raja Norazli Raja Nordin ketika dihubungi Sinar Harian turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Allahyarham telah berkhidmat selama 15 tahun merupakan pekerja yang berdedikasi dan sangat komited terhadap kerjayanya," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!