Dijangka lebih 10,000 pelancong masuk Kelantan: Exco

Gambar hiasan - Foto internet
Gambar hiasan - Foto internet
A
A
A

KOTA BHARU - Lebih 10,000 pelancong dijangka mengunjungi Kelantan dalam tempoh dua minggu terakhir penghujung tahun ini setelah kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri berkuatkuasa pada 7 Disember lalu.

Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman berkata, ia sekali gus memberi nafas baharu kepada penggiat industri pelancongan dan secara beransur-ansur kembali merancakkan ekonomi yang sebelum ini terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

Sehubungan itu, Md Anizam berkata, untuk mengembalikan kemeriahan pelancongan di Kelantan, kerajaan negeri bersama kerajaan pusat memperuntukkan lebih RM5 juta bagi membaik pulih beberapa lokasi tarikan pelancongan.

“Antaranya Kolam Air Panas Tok Bok di Machang dengan membaik pulih kolam di samping pembinaan chalet dan pembinaan taman permainan kanak-kanak.

“Selain itu, turut dibaik pulih ialah Jeram Mengaji di Pasir Puteh yang sedang viral keindahannya yang disamakan seperti di Kundasang, Sabah dan juga Mini Zoo di Kuala Krai,” katanya kepada pemberita di Royal Royal Guest House, hari ini.

Mengulas perkara sama, Md Anizam berkata, berdasarkan perkembangan semasa Covid-19, beliau optimis pelancong sudah mula yakin untuk mengunjungi Kelantan memandangkan pihak hotel telah menerima tempahan dari luar Kelantan.

“Jadi, kita kena pastikan tahap kebersihan berada dalam keadaan baik, perkhidmatan terbaik dan orang Kelantan itu sendiri terus dengan sikap peramah untuk menerima kemasukan pelancong.

“Kerajaan juga telah memperuntukkan RM500 untuk setiap hotel melakukan sanitasi sejak awal pandemik Covid-19 yang melibatkan 50 hotel di negeri ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, beliau yakin pelancongan domestik kembali rancak di Kelantan memandangkan terdapat banyak lokasi menarik seperti ditularkan di media sosial.

keterangan gambar

Md Anizam melihat antara koleksi lukisan menggambarkan kehidupan di Kelantan yang dipamerkan di Royal Guest House turut menjadi tarikan.