Lelaki ditahan cetus provokasi terhadap polis

Nik Ezanee Mohd Faisal
Nik Ezanee Mohd Faisal
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki ditahan kerana mencetuskan provokasi dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas di Lebuhraya Persekutuan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sepasukan polis dari Cawangan Kereta Peronda Polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah menahan sebuah kereta jenis Perodua Myvi pada jam 3.20 pagi.

"Kita menahan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang memandu kereta tersebut dalam keadaan mencurigakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, suspek enggan memberi kerjasama ketika diarahkan masuk semula ke dalam kenderaannya dan duduk di bahagian penumpang untuk dibawa ke Cawangan Trafik Petaling Jaya kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Suspek telah mencetuskan provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis yang bertugas," katanya.

Beliau berkata, suspek direman empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

"Kita tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang cuba menghalang penjawat awam melakukan tugas. Tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang cuba mencabar pihak polis.

"Orang ramai dinasihatkan memberi kerjasama kepada pihak polis yang sedang menjalankan tugas," katanya.

Artikel Berkaitan: