Tokan dadah ke-57 diberkas di Kemaman

Mohd Haki (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas.
Mohd Haki (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas.
A
A
A

KEMAMAN - [DIKEMASKINI] Polis Kemaman berjaya menahan seorang lelaki dipercayai tokan dadah dan merampas dadah bernilai kira-kira RM28,000 dalam satu serbuan di Kerteh di sini malam kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, penahanan lelaki berusia 36 tahun itu juga merupakan tangkapan tokan dadah ke-57 yang dilakukan pihaknya sepanjang tahun ini.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan kira-kira jam 9.30 malam, ketika suspek yang bermotosikal berada di tepi jalan.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui satu beg silang yang mengandungi satu bungkusan dan tiga botol plastik, yang mana setiap satu botol berisi serbuk dan ketulan berwarna putih disyaki dadah.

“Kita juga menjumpai sembilan peket plastik dengan jumlah keseluruhan 1,800 biji pil warna merah dan 18 biji pil warna hijau disyaki dadah.

"Anggaran keseluruhan dadah yang dirampas bernilai kira-kira RM28,000," katanya pada sidang akhbar di Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di sini hari ini.

Tambahnya, ujian saringan awal urin terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek turut mempunyai lima kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan mempunyai empat rekod jenayah lampau.

Artikel Berkaitan:

"Suspek direman selama tujuh hari sehingga 17 Disember depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.

Mohd Haki (dua dari kanan) menunjukkan kereta Proton Inspira yang ditahan selepas 15 minit mengejar pemandunya Khamis lalu.
Mohd Haki (dua dari kanan) menunjukkan kereta Proton Inspira yang ditahan selepas 15 minit mengejar pemandunya Khamis lalu.

Sementara itu, pada sidang akhbar yang sama Mohd Haki berkata, polis berjaya menahan seorang penarik kereta berusia 31 tahun pada Khamis lalu, pada jam 6.15 petang serta merampas sebuah kereta Proton Inspira selepas mengejarnya selama 15 minit di Jalan Air Putih, di sini.

Katanya, ketika kejadian sebuah kereta Unit MPV polis yang sedang membuat rondaan terserempak sebuah kereta Proton Inspira yang dipandu dalam keadaan merbahaya.

“Unit MPV polis tersebut mengekori kereta itu untuk pemeriksaan namun apabila menyedari keretanya diekori, suspek memecut laju menuju ke Taman Kampung Jaya, Jalan Air Putih.

“Pihak polis telah memasang ‘beacon light’, siren dan menggunakan ‘loud hailer’ mengarahkan suspek memberhentikan kereta tetapi tidak diendahkan suspek," katanya.

Beliau berkata, unit MPV polis bagaimanapun berjaya memintas kereta tersebut namun suspek telah mengundur kenderaannya secara melawan arus kira-kira 50 meter.

“Suspek kemudiannya memecut semula kenderaannya ke Jalan Air Putih, sebelum ditahan dengan bantuan sebuah lagi kereta peronda dari Unit MPV polis di hadapan sebuah kedai makan berhampiran lampu isyarat Mak Chili,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan, suspek didapati mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan tiga kes samun.

Dia kini direman tujuh hari sehingga 17 Disember depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 186KK, Seksyen 392KK dan Seksyen 427 KK.