MARDI perkasa inovasi makanan

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah (dua dari kiri) melihat proses pembuatan 'Coklatcips' semasa mengadakan lawatan ke Test Bed pada majlis pelancaran produk inovasi makanan dan minuman Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Perasmian Test Bed Teknologi MARDI di Pejabat MARDI, Bukit Lintang hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah (dua dari kiri) melihat proses pembuatan 'Coklatcips' semasa mengadakan lawatan ke Test Bed pada majlis pelancaran produk inovasi makanan dan minuman Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Perasmian Test Bed Teknologi MARDI di Pejabat MARDI, Bukit Lintang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melancarkan Produk Inovasi Makanan MARDI dan Makmal 'Test Bed' Teknologi MARDI bagi Stesen MARDI Melaka di sini semalam.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, produk inovasi makanan tersebut adalah Teknologi Gegelung Mangga Tinggi Antioksidan dan Produk Minuman Difermentasi dari buah nadir Ceri Terengganu, buah kuini dan teh.

“Gegelung Mangga Tinggi Antioksidan merupakan makanan snek kesihatan mudah dibawa dan mengandungi antioksida yang tinggi, bebas kandungan lemak dan tidak mengandungi pewarna dan perasa tambahan, serta berpotensi menggantikan buah-buahan asli sebagai sumber nutrien.

“Produk Minuman Difermentasi dari buah nadir Ceri Terengganu, kuini dan teh pula mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi dan bebas bahan pengawet serta pewarna,” katanya selepas Majlis Pelancaran Produk Inovasi Makanan MARDI dan Makmal 'Test Bed' Teknologi MARDI di Stesen MARDI Melaka di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, enam usahawan di bawah program Agropreneur Muda menerima geran peralatan berjumlah RM20,000, manakala lima usahawan di bawah program Rezeki Tani mendapat geran peralatan bernilai RM10,000.

Produk minuman difermentasi dihasilkan menerusi proses penapaian menggunakan ‘strain kombucha’ yang melibatkan lebih daripada satu mikroorganisma yang selamat dan ditapai selama 21 hari, sebelum cecair yang terhasil ditapis beberapa kali bagi menghasilkan produk bebas mikroorganisma, yang selamat diminum.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Makmal 'Test Bed' Teknologi MARDI ialah makmal teknologi pemprosesan makanan yang dilengkapi dengan mesin dan peralatan moden untuk kemudahan pengeluaran berskala kecil bagi jenis produk makanan terpilih.

Beliau berkata, makmal itu juga menawarkan kemudahan pemprosesan, khidmat kepakaran dan analisis kualiti yang diperlukan bagi memulakan serta menguruskan proses inovasi teknologi dan perniagaan.

Artikel Berkaitan:

“Makmal 'Test Bed' Teknologi MARDI Melaka yang telah mendapat anugerah pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) oleh Kementerian Kesihatan akan fokus kepada teknologi bakeri seperti pembuatan roti, kek, biskut, croissant dan konfeksionari dodol.

“Makmal 'Test Bed' Teknologi MARDI Melaka ini merupakan pusat sehenti kepada usahawan untuk mendapatkan ilmu, teknologi serta khidmat nasihat secara terus, dan saya berharap agar usahawan di negeri ini dapat memanfaatkan teknologi MARDI yang diperkenalkan untuk membantu meningkatkan perusahaan tradisi negeri ini,” katanya. - Bernama