X

Kindly register in order to view this article
!

KKMM pastikan rangkaian telekomunikasi lebih baik di luar bandar

KKMM sedang berbincang dengan syarikat telekomunikasi (telco) bagi menyelesaikan masalah berkaitan kerana aduan ketiadaan rangkaian telekomunikasi di kawasan luar bandar sering kali diterima pihaknya. (Gambar hasan) - Foto 123RF
A
A

PADANG BESAR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) terus komited untuk memastikan penduduk kawasan luar bandar di negara ini mampu mendapat kemudahan rangkaian telekomunikasi termasuk capaian internet yang lebih baik setanding dengan di bandar, kata Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Beliau berkata, untuk itu, KKMM sedang berbincang dengan syarikat telekomunikasi (telco) bagi menyelesaikan masalah berkaitan kerana aduan ketiadaan rangkaian telekomunikasi di kawasan luar bandar sering kali diterima pihaknya.

"Walaupun kita sebut, contohnya lebih 95 peratus di seluruh Malaysia ada connectivity, tetapi ada kawasan yang lemah liputannya. Kita lihat kadang kala connectivity hilang, ada satu bar sahaja, lepas itu hilang sebab tiada kekuatan connectivity yang mana tidak ada connectivity di kawasan bukit-bukau," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penghargaan pasukan barisan hadapan Polis Diraja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas.

"Rakyat luar bandar pun bayar (bil) sama juga harga dengan rakyat di bandar," katanya yang turut memaklumkan gangguan bekalan elektrik juga antara penyebab pemancar telekomunikasi tidak dapat berfungsi dengan baik sehingga mengganggu rangkaian.

Beliau berkata, generator set (genset) digunakan untuk mengekalkan fungsi pemancar telekomunikasi di kawasan yang tiada bekalan elektrik, namun ada juga keadaan genset rosak sekali gus menjejaskan operasi pemancar berkenaan.

Sementara itu, Zahidi berkata, KKMM akan memberi perhatian kepada usaha meningkatkan capaian internet di kawasan sempadan negara ini termasuk di Padang Besar berikutan masih banyak kawasan di wilayah tersebut yang tidak mempunyai liputan yang baik. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!