Bersatu NS serah pembahagian kerusi kepada pucuk pimpinan

Eddin Syazlee (kiri) menerima borang keahlian daripada Nazree di Pejabat Bersatu Negeri Sembilan di Seremban hari ini.
Eddin Syazlee (kiri) menerima borang keahlian daripada Nazree di Pejabat Bersatu Negeri Sembilan di Seremban hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti berhubung pembahagian kerusi antara parti itu dengan Barisan Nasional (BN) dan Pas di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pengerusinya, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, soal pembahagian kerusi masih belum dibincangkan di peringkat negeri melibatkan ketiga-ketiga parti tersebut.

"Masih terlalu awal dan saya percaya pucuk pimpinan sedang mengusahakan perkara tersebut. Kalau sudah ada, ia akan diserahkan kepada perhubungan negeri.

"Sama ada Bersatu akan menambah kerusi atau sebaliknya, perkara itu akan dibincangkan mengikut kesesuaian," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan borang keahlian baharu Bersatu daripada Penggerak Komuniti Negara (PKN) Negeri Sembilan di Pejabat Bersatu Negeri Sembilan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PN, BN bincang agihan kerusi PRU15 minggu hadapan

Hadir sama, Setiausaha Bersatu Negeri Sembilan, Datuk Mohd Hanafi Mohd Zain dan Pengerusi PKN Negeri Sembilan, Nazree Yunus.

Pada majlis itu, Nazree yang merupakan bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyerahkan sebanyak 800 borang keahlian baharu Bersatu daripada ahli-ahli PKN negeri kepada Eddin Syazlee.

Sementara itu, Eddin Syazlee yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, beliau melihat tidak banyak masalah bagi membentuk kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan BN di negeri ini terutama bagi menghadapi PRU15.

Artikel Berkaitan:

"Kalau kita lihat dari segi gerak kerja pada hari ini, hubungan antara Bersatu, Pas dan UMNO satu perkara yang boleh diusahakan dan sedang bergerak dalam satu keadaan yang lebih baik dari semasa ke semasa," katanya.