Nafas agih RM5.31 juta wakalah zakat ke seluruh negara

Che Abdullah (kanan) bertanya khabar kepada Mek Nab Ismail, 74, (kiri) mengenai suaminya Ariffin Dotan, 78, yang lumpuh sempena Program Ziarah Peladang di Kampung Kok Pasir hari ini.
Che Abdullah (kanan) bertanya khabar kepada Mek Nab Ismail, 74, (kiri) mengenai suaminya Ariffin Dotan, 78, yang lumpuh sempena Program Ziarah Peladang di Kampung Kok Pasir hari ini.
A
A
A

TUMPAT - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mengagihkan sebanyak RM5.31 juta wakalah zakat yang dimanfaatkan kepada 26,550 asnaf di seluruh negara sepanjang tahun 2020.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI), Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, agihan berkenaan dilakukan menerusi Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di bawah Nafas termasuk MAFI sendiri.

Menurutnya, sebanyak RM 3.91 juta wakalah zakat diagihkan menerusi Nafas kepada 19,500 asnaf manakala RM1.4 juta lagi diberikan kepada 7,000 penerima di seluruh negara.

“Kerajaan sentiasa prihatin mendalami dan meringankan beban rakyat di negara ini apatah lagi ketika mereka meneruskan kelangsungan hidup di musim pandemik Covid-19.

Che Abdullah (kanan) turut bertanya khabar kepada Ibrahim Ismail, 80, ketika hadir pada Program Ziarah Peladang di Kampung Kok Pasir hari ini.
Che Abdullah (kanan) turut bertanya khabar kepada Ibrahim Ismail, 80, ketika hadir pada Program Ziarah Peladang di Kampung Kok Pasir hari ini.

“Bantuan ini bukan sahaja tertumpu kepada ahli peladang tetapi asnaf yang memerlukan juga turut diberikan perhatian,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi 10 keluarga asnaf peladang di Kok Pasir, Tumpat dan turut menyempurnakan Program Nafas Prihatin di sini, hari ini.

Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, peruntukan zakat sebanyak RM 580,000 dikhususkan untuk bantuan pakaian dan peralatan persekolahan kepada keluarga memerlukan di seluruh negara manakala RM290,000 pula dikhaskan bagi agihan makanan.

Mengulas lanjut mengenai Program Nafas prihatin pula, Che Abdullah berkata, sebanyak RM490,000 diperuntukkan untuk membaikpulih rumah di seluruh negara bagi keluarga yang layak.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama Che Abdullah berkata, ahli peladang di seluruh negara yang terjejas akibat Covid-19 juga diberikan perhatian iaitu sebanyak RM1.395 juta diagihkan termasuk RM170,000 diberikan kepada 34 penerima di Kelantan dengan purata nilai RM5,000 setiap orang.

Dalam pada itu, mengulas mengenai program yang diadakan hari ini, Che Abdullah berkata, ia merupakan antara medium bagi merapatkan ukhwah serta membuktikan keprihatinan sosial dalam kalangan masyarakat.