Keengganan Pulau Pinang bayar tuntutan caj air mentah mengecewakan

Ahmad Yahaya
Ahmad Yahaya
A
A
A

ALOR SETAR - Keengganan kerajaan negeri Pulau Pinang membuat bayaran caj bekalan air mentah bagi menampung kos pemuliharaan kawasan tadahan air di Kedah amatlah mengecewakan.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Senator Ahmad Yahaya berkata, tuntutan bayaran bekalan air mentah dari Perbadanan Bekalan Pulau Pinang (PBAPP) sudah dibuat sejak tahun 2010 lagi.

Bagaimanapun, katanya, Pulau Pinang tetap enggan membuat bayaran walaupun tuntutan bayaran air mentah sebanyak RM50 juta setahun dibuat berdasarkan kadar penggunaan air.

"Pas Kedah menyokong penuh gesaan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor supaya Pulau Pinang membayar RM50 juta setahun kepada kerajaan negeri Kedah.

"Melalui Syarikat Air Darul Aman (SADA), kerajaan negeri perlu membayar kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah sebagai rasa tanggungjawab terhadap pemuliharaan dan penggunaan air mentah tersebut," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ahmad berkata, jumlah tuntutan tersebut berdasarkan penggunaan sumber air sebanyak 1,100 juta liter padu (MLD) sehari berbanding penggunaan Kedah hanya sebanyak 800,000 liter padu sehari.

"Dalam pada itu, usaha kerajaan negeri Kedah untuk memelihara kelestarian dalam penerokaan mineral nadir bumi ataupun 'rare earth elements' (REE) berskala besar di Ulu Muda, Sik dan Baling telah menafikan tohmahan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yew," katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri Kedah memaklumkan akan menuntut bayaran bekalan air mentah daripada PBAPP bagi menampung kos pemuliharaan kawasan tadahan air di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kerajaan Pulau Pinang tetap bertegas tidak akan membayar caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun seperti dituntut Kedah.

Kon Yew mendakwa Pulau Pinang menggunakan hak antarabangsa iaitu menggunakan air dari sungai khususnya di bahagian sempadan negeri itu.