Ikan mati di Sungai Langgar: Sampel air sungai sedang dianalisis

Pegawai penyiasat menjalankan pengukuran insitu di anak sungai berdekatan Tanjung Musang di Pokok Sena.
Pegawai penyiasat menjalankan pengukuran insitu di anak sungai berdekatan Tanjung Musang di Pokok Sena.
A
A
A

POKOK SENA - Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah menjalankan siasatan berhubung kejadian ratusan ikan di Sungai Langgar di sini yang mati akibat pencemaran yang didakwa berpunca daripada hasil buangan bahan kimia dari kilang sekitar Jabi.

Pengarahnya, Norazizi Adinan berkata, pasukan penyiasat JAS telah menjalankan siasatan serta-merta di sungai berkenaan iaitu berdekatan Makam Diraja Langgar selepas menerima aduan daripada orang awam.

Menurutnya, sebanyak empat botol sampel air sungai yang tercemar telah diambil untuk dianalisis Jabatan Kimia Malaysia dan masih menunggu keputusan rasmi.

“Air sungai itu bertukar kehitaman dan berminyak pada Rabu lalu. Pengukuran insitu dijalankan menggunakan YSI Unit dan mendapati bacaan oksigen terlarut adalah 3.59mg/L berbanding julat normal 3 hingga 5mg/L. Bacaan pH pula ialah 6 berbanding julat normal 5 hingga 6, bagi kelas tiga Indeks Kualiti Air Negara,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Beberapa ekor ikan yang mati timbul di permukaan Sungai Langgar di Pokok Sena.
Beberapa ekor ikan yang mati timbul di permukaan Sungai Langgar di Pokok Sena.

Norazizi berkata, siasatan terhadap punca pencemaran telah dijalankan pegawai penyiasat terhadap premis yang berpotensi menyebabkan pencemaran tertakluk bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling pada hari sama.

“Tiada sebarang limpahan bahan kimia daripada premis ke alur air berdekatan. Seterusnya penjejakan dan siasatan punca berpotensi telah dijalankan di sepanjang alur air daripada Sungai Jabi ke Sungai Langgar, termasuk di kilang kayu, bengkel, tapak pelupusan sisa pepejal serta kilang berasaskan makanan dan minuman,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, siasatan mendapati tiada sebarang pelepasan atau limpahan sisa kimia ke alur air seperti didakwa.

Artikel Berkaitan:

“Penduduk kampung berdekatan ada memaklumkan berhubung aktiviti menangkap ikan menggunakan kaedah renjatan elektrik oleh pekerja asing di kawasan berdekatan.

Siasatan ke premis mendapati bahan kimia di stor mengikut spesifikasi ditetapkan dan tiada sebarang limpahan ke alur air.
Siasatan ke premis mendapati bahan kimia di stor mengikut spesifikasi ditetapkan dan tiada sebarang limpahan ke alur air.

"JAS akan terus menjalankan pemantauan serta mengambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap individu yang mencemarkan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata, individu yang melanggar Seksyen 25 iaitu sekatan mengenai pencemaran perairan daratan boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun, atau kedua-duanya.

Rabu lalu, ratusan ekor ikan pelbagai spesies dan saiz ditemui mati di Sungai Langgar. Antaranya ikan selat, belida dan kaloi yang dipercayai berpunca daripada hasil buangan bahan kimia dari kilang sekitar Jabi.